PARLIMEN: Kerajaan minta beri ruang teliti impak keputusan Mahkamah Agung AS

PARLIMEN: Kerajaan minta beri ruang teliti impak keputusan Mahkamah Agung AS

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta diberi ruang dan masa untuk meneliti impak keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump tidak sah, termasuk menilai kepentingan dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan gesaan supaya kerajaan menilai semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS berdasarkan keputusan Mahkamah Agung AS.

Namun katanya, sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana masih terdapat ruang perundangan di AS termasuk penggunaan Seksyen 232 yang membenarkan tarif khusus sektor serta Seksyen 301 yang membenarkan tarif terhadap negara tertentu oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

“Mengapa kita nak terburu-buru kerana Mahkamah Agung AS putuskan tiga hari yang lalu, hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung saya tidak setuju. Saya katakan apa pun keputusan kita kena pertahankan kepentingan (ekonomi) dulu dan perdagangan.

“Kedua, kita juga perlu lihat tindakan negara lain seluruh dunia bagaimana mereka respon (keputusan Mahkamah Agung AS) dan ketiga tentang kedudukan dasar domestik di AS sama ada selari dan tidak dicabar oleh peruntukan lain yang boleh digunakan dalam urusan perdagangan yang tidak termasuk dalam keputusan mahkamah.

“Kerajaan perlu sedikit ruang dan masa untuk menilai semua aspek kerana keputusan yang dibuat perlu mengambil kira risiko terhadap ekonomi negara, khususnya dari sudut strategi perdagangan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk membatalkan perjanjian ART yang ditandatangani pada 26 Oktober tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, perkara berkaitan klasifikasi tarif di bawah kodifikasi tarif Kongres juga masih belum dimuktamadkan serta sama ada Kongres AS akan memperakui keputusan tersebut atau sebaliknya.

“Perkara ini akan kita bincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang untuk menilai secara terperinci semua aspek berkaitan supaya keputusan yang kita buat adalah wajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN