PETALING JAYA: Sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, sarung tangan getah serta produk kayu dijangka menghadapi tekanan eksport susulan cadangan pengenaan tarif sekitar 15 peratus oleh Amerika Syarikat.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kebergantungan tinggi industri berkenaan terhadap pasaran negara itu menjadikan mereka lebih terdedah kepada sebarang perubahan dasar perdagangan.
“Tarif pada kadar tersebut berpotensi meningkatkan kos import di AS sekali gus menjejaskan daya saing produk Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Trump mengumumkan kenaikan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan diperkenalkannya sebelum ini.
Menerusi akaun Truth Social pada Sabtu, Trump berkata, kenaikan di bawah Seksyen 122 itu berkuat kuasa serta-merta dan adalah tambahan kepada tarif sedia ada.
Menurut Mohamad Idham, sektor E&E dan semikonduktor antara paling terdedah kerana industri berkenaan beroperasi dalam rantaian bekalan global yang bergantung kepada kontrak eksport dan permintaan berterusan dari AS.
“Apabila tarif meningkat, pembeli mungkin menangguhkan pesanan atau menilai semula kontrak sedia ada kerana perubahan kos memberi kesan langsung kepada struktur harga,” katanya.
Menurutnya, sektor sarung tangan getah dan produk kayu pula lebih sensitif terhadap perubahan harga berikutan persaingan sengit daripada negara pengeksport lain.
“Tambahan tarif sekitar 15 peratus boleh mengurangkan kelebihan harga Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada pesaing menembusi pasaran AS,” ujarnya.
Katanya, produk berasaskan sawit turut berdepan kesan tidak langsung kerana sektor itu sedia berhadapan tekanan dasar bukan tarif dan isu persepsi kelestarian di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Antarabangsa dan Siyar (CILAS) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Salawati Mat Basir pula berkata, Malaysia boleh meminta rundingan semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS.
Katanya, walaupun Malaysia telah menyertai perjanjian ART bersama namun pelaksanaannya masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya, sekali gus memberi ruang untuk tindakan diplomatik.
Menurutnya, dalam situasi perubahan undang-undang atau keputusan kehakiman di pihak rakan perjanjian, Malaysia berhak menilai semula implikasi terhadap kepentingan negara.
“Malaysia boleh meminta untuk membuat rundingan semula. Kita sudah memasuki perjanjian itu, namun belum dikuatkuasakan sepenuhnya. Perjanjian tersebut memang telah wujud antara dua negara.
“Bagaimanapun, jika terdapat perubahan atau ketidaktentuan akibat keputusan mahkamah di pihak sana, kita perlu menilai sama ada ia memberi kesan kepada Malaysia dan jika ada, rundingan semula adalah langkah yang wajar,” katanya. – UTUSAN










