Pantai negara diancam sifonofor

Pantai negara diancam sifonofor

SIFONOFOR berbeza dengan hidupan marin lain, spesies sifonofor ini tidak mempunyai tulang dan otot, menjadikannya tidak mampu untuk berenang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengunjung pantai terutamanya di kawasan pantai timur dan selatan negara dinasihatkan agar berwaspada dengan ancaman hidupan laut berbahaya dikenali sebagai Portuguese Man-of-War atau nama saintifiknya Physalia physalis yang kini mula terdampar di pesisir pantai.

Aktivis pemuliharaan marin Malaysia, Noor Fadzli Shah berkata, hidupan ini sering disalah anggap oleh orang awam sebagai spesies ubur-ubur biasa kerana rupa bentuknya.

Katanya, hidupan tersebut bukanlah keluarga ubur-ubur, sebaliknya merupakan sejenis organisma yang dikenali secara saintifik sebagai sifonofor (siphonophore).

“Sifonofor berbeza dengan hidupan marin lain, spesies sifonofor ini tidak mempunyai tulang dan otot, menjadikannya tidak mampu untuk berenang.

“Sifonofor hanya terapung di permukaan air dan pergerakannya bergantung sepenuhnya kepada tolakan arus laut dan angin.

“Kehadirannya di pantai perairan negara pada ketika ini adalah satu fenomena bermusim yang didorong oleh faktor cuaca dan peralihan angin monsun yang menolak organisma tersebut sehingga terdampar ke daratan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini

Noor Fadzli berkata, sifonofor ini bersifat lutsinar dan sebati dengan keadaan laut, menjadikannya sangat sukar dilihat sehinggalah pengunjung terkena sengatannya.

“Apabila sifonofor telah terdampar dan mati di darat, ia akan mula menampakkan warna merah jambu atau ungu.

“Ancaman paling besar sifonofor ini terletak pada sesungutnya yang fizikalnya kelihatan panjang seperti tali.

“Walaupun spesies ini akan mati apabila terdampar di pantai, bisa pada sesungutnya itu masih kekal aktif dan sangat berbahaya jika disentuh atau terpijak.

“Sengatan organisma ini boleh mendatangkan kesan yang sangat mudarat dan lebih berbahaya daripada ubur-ubur biasa. Ia malah boleh membawa maut terutamanya jika mangsa adalah kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun.” katanya.

Tegas Noor Fadzli, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu memainkan peranan proaktif dengan memasang papan tanda serta bendera amaran fizikal yang jelas di kawasan-kawasan pantai yang berisiko tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×