OKU lumpuh bangkit berniaga kraftangan

OKU lumpuh bangkit berniaga kraftangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Keterbatasan fizikal akibat kemalangan di tempat kerja 20 tahun lalu tidak mematahkan semangat seorang lelaki dari Kampung Sungai Bari di sini, kembali mencari rezeki selepas disahkan lumpuh seluruh badan.

Azman Yahya, 52, berkata, hidupnya seolah-olah ’gelap’ selepas mengalami kecederaan saraf tulang belakang akibat ter­timpa batang pokok ketika bekerja sebagai pemandu lori.

Katanya, dia terlantar di katil kira-kira tiga tahun dengan hanya mampu menggerakkan kepala dengan keseluruhan badan termasuk kaki dan tangannya lumpuh.

“Hidup saya seperti terhenti kerana hilang sumber pencarian sedangkan ketika itu saya mempunyai tiga anak yang masih kecil.

“Isteri saya Aminah Mamat berjuang untuk kehidupan ha­rian kami dengan berniaga secara kecil-kecilan sehinggalah keadaan kesihatan saya semakin baik dan boleh berjalan semula walaupun terpaksa menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sungai Bari.

Sebaik sahaja bangkit dari katil setelah hampir tiga tahun terlantar, Azman mula mencari ruang perniagaan dengan berniaga kraf tangan secara kecil-kecilan meskipun terpaksa berulang-alik ke negara jiran mencari bekalan.

Katanya, ketika ini dia menawarkan lebih 100 jenis kraftangan di gerainya termasuk bubu buluh, bakul buluh, lekar dan kerusi rotan dengan hasil jualan kira-kira RM100 sehari.

Meskipun menceburi bidang perniagaan itu, namun Azman tidak pernah meninggalkan rutinnya mendapatkan rawatan secara berkala demi kesembuhannya, bagaimanapun kesan kecederaan lama membuatkan kesihatannya kembali merosot sejak dua tahun lalu.

“Kini saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak kerana tidak mampu berdiri dalam tempoh lama. Bagi mengelakkan terjatuh, saya memerlukan kerusi roda dan memakai lampin pakai buang.

“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya pada bantuan orang lain dan saya perlu berusaha sendiri untuk menyara keluarga meskipun telah bergelar orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Azman adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan yang digunakan untuk menampung tiga anak yang masih belajar di institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN