Korea Selatan, India arahkan rakyatnya tinggalkan Iran

Korea Selatan, India arahkan rakyatnya tinggalkan Iran

GAMBAR menunjukkan papan iklan anti-AS yang dipasang di sebuah bangunan di Dataran Enqelab di Teheran, susulan peningkatan ketegangan antara Washington dan Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan dan India mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya meninggalkan Iran berikutan ketegangan yang semakin meningkat serta kebimbangan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS).

Dalam notis di laman webnya kelmarin, Kedutaan Korea Selatan di Iran memberi amaran keselamatan negara itu boleh merosot dengan cepat.

Ia turut menggesa rakyat Korea Selatan untuk memantau liputan media dan nasihat kedutaan, serta mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi memastikan keselamatan diri mereka.

“Laporan media baru-baru ini menekankan ketegangan serantau yang semakin meningkat, memetik kemungkinan serangan AS ke atas Iran dan amaran Teheran untuk bertindak balas,” kata kedutaan itu.

Kedutaan menasihati rakyat Korea Selatan yang kini berada di Iran untuk meninggalkan negara itu secepat mungkin kecuali jika keberadaan mereka di sana adalah atas urusan penting.

Ia turut menggesa mereka yang merancang untuk ke Iran supaya membatalkan atau menangguhkan perjalanan masing-masing.

Dalam kenyataan berasingan di platform X semalam, Kedutaan India di Teheran turut menasihatkan warganegaranya supaya meninggalkan Iran menggunakan apa juga kaedah pengangkutan tersedia, termasuk penerbangan komersial.

Kedutaan itu turut meminta warganegaranya menghubungi pihak konsulat sekiranya memerlukan bantuan serta berkongsi nombor talian kecemasan.

Kementerian Luar Serbia pula menggesa rakyatnya supaya keluar dari Iran secepat mungkin dan menasihatkan agar tidak melakukan perjalanan ke negara itu berikutan situasi keselamatan yang semakin merosot susulan ketegangan serantau.

Amaran berkenaan dikeluarkan ketika AS meningkatkan kehadiran tenteranya di Asia Barat.

Kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bersama jet pejuang tambahan ditempatkan di rantau itu, disusuli dengan USS Gerald R. Ford yang kini dalam perjalanan.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump menetapkan tempoh 10 hingga 15 hari untuk rundingan dengan Iran bagi mencapai keputusan sebelum sebarang pilihan ketenteraan dipertimbangkan.

Beliau mengulangi ancaman itu pada Jumaat dan berkata sedang mempertimbangkan serangan terhad bagi memberi tekanan kepada Teheran supaya mencapai perjanjian.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN