PETALING JAYA: Seramai 120 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk yang sudah dipecat atau digantung keahlian didakwa akan menyertai parti baharu dipimpin Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia termasuk penyertaan 19 ahli Parlimen serta ribuan bekas ahli yang menjadi pendukung gerakan ‘Reset’ di seluruh negara.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, idea Reset adalah lebih jelas dan praktikal berbanding hala tuju Bersatu iaitu melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baharu bagi membina Malaysia yang lebih baik.
“Sebab itu, Reset semakin hari semakin menjadi buah mulut, ikutan dan sohor. Namun, Bersatu tiada ketiga-tiga perkara itu. Kami hanya menunggu pengumuman parti baharu yang akan dianggotai oleh para aktivis dan pendukung gerakan Reset.
“Sejumlah pendukung yang tidak pernah menjadi ahli Bersatu atau mana-mana parti tetapi mereka terpanggil juga akan bersama dalam gerakan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh mengenai kelewatan Hamzah menentukan hala tuju baharu kem Reset, sekali gus memberi peluang kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengukuhkan kedudukan dalam parti.
Senada dengan Saifuddin, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan, dua pertiga daripada 170 bahagian Bersatu akan bersama dengan gerakan Reset.
Wan Saiful berkata, parti baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat itu juga bakal dianggotai pimpinan UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, perkembangan terkini memberi isyarat jelas bahawa percaturan politik Hamzah bukan sekadar mencabar kepemimpinan Muhyiddin tetapi berpotensi mengosongkan struktur Bersatu dari dalam.
“Walaupun Reset baru diumumkan Februari lalu, gerakan itu sebenarnya sedang menyusun kekuatan di peringkat akar umbi. Jadi keagresifan itu ambil sedikit masa. Namun, perancangan berjalan lancar dan sokongan makin bertambah.
“Saya jangka hampir dua pertiga daripada 170 bahagian Bersatu akan bersama parti baharu nanti. Saya yakin apabila diumumkan sebagai parti politik nanti, ia akan jadi lebih besar.
“Datuk Seri Hamzah sendiri sudah banyak kali sebut ‘rumah baharu’ dalam proses dibina, hampir siap dan tinggal masa untuk diumumkan sahaja,” katanya.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, pendekatan Reset bukan hanya bergantung kepada perang propaganda terbuka, sebaliknya memfokuskan pembinaan rangkaian akar umbi secara langsung di seluruh negara.
Katanya, pemimpin-pemimpin Reset aktif turun bertemu penyokong dan penggerak termasuk di Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.
Wan Saiful turut mempersoalkan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini dengan mendakwa sokongan kepada Hamzah jauh lebih besar berbanding Muhyiddin.
Katanya, kem Reset mempunyai sokongan 19 ahli Parlimen sedangkan Bersatu hanya tinggal enam ahli Parlimen termasuk Muhyiddin.
“Jadi, PN mahu bersama kumpulan lebih besar atau mahu terus tunduk dan patuh kepada parti yang lebih kecil daripada Amanah (Parti Amanah Negara)?
“Ahli Parlimen Bebas malah lebih ramai daripada penyokong Muhyiddin. Tidak pernah dalam sejarah, ahli Parlimen Bebas lebih ramai daripada penyokong seorang bekas Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan penyertaan rasmi parti baharu itu ke dalam PN.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, cubaan merasuah ketua-ketua bahagian bagi mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden merupakan antara sebab Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin terlibat.
Tun Faisal menyenaraikan 11 kesalahan yang dilakukan ahli Parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan lain-lain yang berpihak kepada Hamzah hingga membawa kepada tindakan oleh Lembaga Disiplin.
Beliau berkata, antaranya adalah memberi habuan wang tunai RM3,000, bantuan kewangan dan peluang bertanding dalam pilihan raya sekiranya menyertai gerakan menyingkirkan Muhyiddin.
“Tidak mungkin mereka yang merasuah dan cuba merasuah atau yang melakukan kesalahan jenayah menggunakan akuan sumpah (SD) palsu, yang membuat rundingan-rundingan haram tanpa mandat yang mengkhianati kepentingan parti atau yang melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah adalah dalam kalangan mereka yang baik,” katanya. – UTUSAN










