KLUANG: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya dari Norway di Singapura hujung bulan ini.
Ia bagi membincangkan pembatalan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).
Mohamed Khaled berkata, pembatalan perolehan peluru berpandu yang dibuat saat-saat akhir itu amat memeranjatkan dan mengecewakan pihaknya.
“Adalah sangat malang apabila kita tanda tangan untuk membeli peluru berpandu dari Norway dalam tahun 2018 dan sepatutnya Mac ini kita sudah terima bagi melengkapkan kapal-kapal kita, tetapi beberapa hari sebelum tarikh penghantaran, ia dibatalkan.
“Sekarang kita gunakan saluran diplomatik, Perdana Menteri kita akan berhubung dengan Perdana Menteri mereka, Menteri Luar kita dengan Menteri Luar mereka dan saya mungkin akan berjumpa dengan Menteri Pertahanan mereka di Singapura, hujung bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan Tentera Malaysia di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, di sini semalam.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu bertujuan menyatakan tindakan kerajaan Norway membatalkan perolehan peluru berpandu itu satu tindakan yang tidak mencerminkan hubungan baik antara dua negara.
Sebuah portal pertahanan tempatan sebelum ini melaporkan, Mohamed Khaled dimaklumkan berhubung pembatalan perolehan itu daripada wakil KDA ketika Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas sama ada Malaysia berminat membeli pesawat pejuang Russia yang dipamerkan semasa lawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Russia baru-baru ini, kata Mohamed Khaled, Malaysia hanya akan menilai pemerolehan baharu pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) menjelang tahun 2030.-UTUSAN.










