Kabinet setuju had tempoh PM 10 tahun

Kabinet setuju had tempoh PM 10 tahun

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah Menteri bersetuju menetapkan had maksimum 10 tahun atau dua penggal tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memperkukuh tadbir urus negara dan keseimbangan kuasa dalam pentadbiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan undang-undang termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan mengambil kira pelbagai pandangan termasuk maklum balas masyarakat, input pakar serta hasil libat urus bersama pihak berkepentingan.

“Kerajaan bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dilihat mampu mencegah penguasaan kuasa yang berpanjangan, di samping memperkukuh amalan demokrasi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan dan institusi negara.

“Seterusnya, Kerajaan akan melaksanakan beberapa pindaan yang berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini juga.

“Ia sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan di bawah agenda reformasi institusi Kerajaan Madani,” katanya kenyataan semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal.

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat tahun baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Tambah Azalina, cadangan mengehadkan tempoh jawatan itu selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa.

“Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN