KUANTAN: Pengalaman melihat keadaan kucing dan anjing jalanan yang kurus kering malah banyak yang mati ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 kira-kira enam tahun lalu, mengubah kehidupan sepasang suami isteri dari Bukit Setongkol, di sini.
Sejak itu, pasangan Cina-Melayu terbabit, Mohammad Arvin Abdullah, 43, dan isteri, Nor Iwani Shahudin, 38, bertekad menyelamatkan kucing serta anjing liar di sekitar bandar ini.
Selain menjadikan rumah mereka di Taman LKNP Bukit Setongkol sebagai ‘pusat perlindungan’ bagi kucing ‘buangan’, pasangan itu memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan di sekitar bandar ini terutama pada waktu malam.
Dalam tempoh lebih setengah dekad lalu, mereka menyelamatkan kira-kira 500 ekor kucing jalanan dan kini hampir 100 ekor kucing pelbagai baka masih dalam jagaan mereka.
Pasangan tersebut yang belum dikurniakan cahaya mata selepas 11 tahun perkahwinan, tidak kisah untuk berkongsi rumah dengan semua kucing berkenaan malah ruang bawah dan garaj rumah teres dua tingkat itu kini dipenuhi sangkar kucing.
Mengimbau semula detik awal usaha mereka itu, Mohammad Arvin berkata, pada mulanya dia dan isteri hanya membela 28 ekor kucing termasuk kucing jalanan yang diselamatkan.
“Kemudian semasa tempoh PKP, saya tidak boleh bekerja sebaliknya hanya isteri yang dibenarkan bekerja kerana dia seorang jururawat. Ketika itu saya ada terfikir apa nasib kucing dan anjing jalanan kerana tiada kedai dibenarkan beroperasi dan orang ramai juga terpaksa berkurung.
“Apabila kerajaan membenarkan keluar rumah, saya meninjau sekitar bandar ini dan melihat situasi yang sangat menyedihkan. Kebanyakan kucing dan anjing jalanan kurus kering kerana tidak cukup makan malah banyak juga haiwan berkenaan mati di tepi jalan sebelum saya mengutip dan menanamnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Mohammad Arvin berkata, sejak dari itu dia dan isteri membuat keputusan untuk menyelamatkan kucing jalanan dan membawa ia pulang.
“Kos penjagaan semua kucing menelan belanja antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan untuk makanan, pasir, rawatan dan keperluan lain.
“Selepas PKP, kami menjual tiga biji kereta milik kami selain menggunakan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan menguruskan semua kucing-kucing ini” katanya yang bekerja sebagai juruteknik.
Mereka mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk mengambil kucing-kucing dalam jagaannya untuk dipelihara. – UTUSAN










