DUBAI: Beberapa negara Teluk Arab menjadi sasaran peluru berpandu Iran pada Sabtu selepas Teheran berikrar untuk membalas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Media kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan seorang individu terbunuh di Abu Dhabi, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Kuwait, Qatar, UAE dan Jordan yang mempunyai kehadiran tentera AS mendakwa memintas peluru berpandu Iran.
“Semua wilayah yang diduduki dan pangkalan jenayah AS di rantau ini diserang oleh hentaman kuat peluru berpandu Iran. Operasi ini akan diteruskan tanpa henti sehingga musuh dikalahkan sepenuhnya,” kata Pengawal Revolusi Iran.
Bahrain mengesahkan serangan di dalam wilayahnya dan berkata sebuah pusat perkhidmatan Armada Kelima AS terkena serangan.
Letupan kedengaran di seluruh Abu Dhabi, menurut lima saksi termasuk dua wartawan Reuters. Sebahagian penduduk menerima amaran melalui telefon supaya berlindung di bangunan terdekat dan menjauhi tingkap susulan ancaman peluru berpandu.
Seorang saksi memberitahu Reuters mendengar lima letupan berturut-turut yang menyebabkan tingkap rumah berhampiran Corniche Abu Dhabi bergegar.
Agensi berita rasmi WAM melaporkan, UAE berjaya memintas beberapa peluru berpandu Iran.
“Pihak berkuasa turut menangani serpihan peluru berpandu yang jatuh di kawasan perumahan di Abu Dhabi, menyebabkan beberapa kerosakan harta benda dan kematian seorang warga Asia,” menurut WAM.
Gelombang kedua serangan Iran kemudiannya berjaya dipintas, dengan serpihan jatuh di sekitar ibu negara tanpa menyebabkan kecederaan.
Di Qatar, pihak tentera dalam satu kenyataan berkata ia telah memintas peluru berpandu Iran yang masuk sebelum sampai ke wilayah negara itu hasil penyelarasan bersama. Beberapa siri letupan berturut-turut kedengaran di ibu negara Doha.
Selepas Kedutaan AS mengeluarkan amaran supaya berlindung di Doha, ramai penduduk meneruskan aktiviti seperti biasa.
Orang ramai masih membeli-belah di pasar raya, pengunjung pantai menuju ke tepi laut dan sebuah bas pelancongan dua tingkat berwarna kuning yang membawa pelancong melalui daerah West Bay.
Namun kemudian, apabila kerajaan mengeluarkan arahan berlindung melalui telefon bimbit, semakin kurang orang kelihatan di jalan raya dan trafik menjadi lebih lengang.
Tentera Kuwait berkata ia telah menangani peluru berpandu Iran ketika negara itu menutup ruang udaranya.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berkata, negaranya enggan diseret ke dalam peperangan.
Pihak berkuasa bimbang kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, boleh terlibat dalam konflik tersebut.
Sejurus sebelum operasi bermula, Israel mengumumkan melancarkan serangan ke atas infrastruktur Hezbollah di selatan Lubnan.
Syarikat penerbangan global menggantung penerbangan di seluruh Asia Barat, dengan peta penerbangan menunjukkan ruang udara Iran hampir kosong.










