MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusoh membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau sebelum ini dikatakan berhasrat menyertai kem yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat oleh Lembaga Disiplin parti baru-baru ini.
Sumber dalaman parti memaklumkan bahawa Aleef pada peringkat awal menunjukkan kecenderungan itu apabila beliau hadir pada Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 14 Februari lalu.
Kata sumber itu lagi, namun perkembangan terbaharu menyaksikan beliau membuat ‘pusingan U’ dan menegaskan komitmen untuk terus bersama kepemimpinan sedia ada di peringkat negeri dan Pusat.
Ujarnya, beliau juga tidak hadir sewaktu bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengadakan sidang akhbar memaklumkan ahli jawatankuasa lima daripada enam bahagian dibubarkan serta-merta.
“Beliau ada menghantar mesej melalui WhatsApp kepada seorang pemimpin tertinggi parti memaklumkan tidak hadir pada sidang akhbar yang diketuai Rahim di Peringgit.
“Malah dia mengakui terkhilaf sewaktu hadir di pentas pada Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 14 Februari lalu,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata sumber itu lagi, Aleef menjelaskan bahawa keputusannya yang diambil untuk terus bersama kepemimpinan parti itu dibuat selepas mempertimbangkan kestabilan parti serta kepentingan pengundi di Sungai Udang.
Jelasnya, beliau turut menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung tahun ini.-UTUSAN.










