KANGAR: Sebanyak 611 lot niaga membabitkan empat lokasi bazar Ramadan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) disediakan bersempena bulan puasa tahun ini.
Ia melibatkan bazar Ramadan Arau, Taman Kemajuan, Kuala Perlis dan pembukaan semula bazar Ramadan ‘stadium’ di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, pada masa ini, bazar Ramadan ‘stadium’ masih memiliki kekosongan lot niaga manakala kawasan niaga lain telah penuh dan mendapat sambutan memberangsangkan.
“Di bazar Ramadan stadium ini masih kosong sebab kami laksanakan proses cabutan tapak sedikit lewat dan sambutan kami terima daripada peniaga adalah amat baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebagai rekod, kadar sewa lot niaga bazar Ramadan di Perlis ialah RM300 sebulan atau RM10 sehari, sekali gus merupakan antara paling rendah berbanding negeri lain yang bertujuan bagi membolehkan para peniaga tidak menaikkan harga makanan yang dapat memberi kesan kepada pengguna.
Affendi berkata, pihaknya turut memberi peringatan kepada pengendali atau penganjur bazar Ramadan swasta di negeri ini agar dapat mengenakan kadar sewaan berpatutan kepada peniaga bersempena Ramadan ini.
“Bagi tujuan itu, MPK akan melaksanakan pemantauan bagi mengelakkan penganjur mengenakan sewaan lot tapak yang tinggi sekali gus dapat mempengaruhi harga makanan,” katanya.
Katanya, setakat 6 Februari, terdapat enam lokasi penganjuran bazar Ramadan dikendalikan swasta terdiri daripada bazar Ramadan Ibu Pejabat Polis Negeri, UTC, dataran bersebelahan Kompleks DUN, Mata Ayer (Puma), tapak Pasar Tani Kekal S4 (Fama) dan Dataran ABC (Fama).
“Jumlah bazar swasta ini juga berkemungkinan bertambah bergantung kepada permohonan diterima MPK,” katanya.-UTUSAN.










