26 tahun Mak Pah jual minuman harga serendah 30 sen

26 tahun Mak Pah jual minuman harga serendah 30 sen

SARIFAH Bahari menunjukkan minuman Milo Ais dan Nescafe Ais yang dijual cuma RM1 di gerainya dekat Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Gerai milik seorang warga emas di Jalan Kuala Kedah di sini menjadi tumpuan apabila menjual minuman serendah 30 sen hingga RM1 sejak 26 tahun lalu dengan niat untuk bersedekah.

Sarifah Bahari, 74, dari Tan­dop berkata, walaupun memperoleh keuntungan yang ti­dak seberapa namun hatinya puas apabila dapat membantu pelang­gan yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Saya mula berniaga sejak zaman Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain jadi Menteri Besar Kedah sampailah Menteri Besar sekarang, Alhamdulillah masih kekalkan harga sama. Dahulu arwah Syed Razak yang tinggal di taman berdekatan selalu singgah beli juga.

“Sekarang walaupun sudah lebih 25 tahun saya tidak berhasrat hendak naikkan harga lagi. Pelanggan saya banyak orang biasa saja dan mereka datang beli sini sebab saya jual murah kalau naikkan harga tentu mereka kecewa. Biarlah, kerana saya pun niat hendak bersedekah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Ibu tunggal kepada 10 anak itu berkata, minuman sirap ais dijual pada harga 30 sen, manakala teh o ais serta kopi o ais masing-masing dijual 50 sen, teh ais (60 sen) sementara minuman lain seperti Nescafe dan Milo Ais ditetapkan RM1.

“Bungkus dan minum di gerai sama sahaja harganya. Orang selalu tanya, kalau jual macam ini untungkah? Masih untung sebenarnya, cuma sedikit sahaja lah,” katanya.

Bercerita lanjut, Sarifah berkata, hasil perniagaan itulah membolehkannya membesar serta menyara kesemua anak­nya setelah suami meninggal dunia lebih 50 tahun lalu.

“Anak-anak semua sudah berkahwin dan mempunyai ke­luarga masing-masing kalau duduk di rumah pun rasa sunyi juga jadi saya keluar berniaga. Anak-anak pernah suruh berhenti tetapi saya selalu beritahu kalau saya tak jual lagi macam mana dengan pelanggan saya nanti,” katanya.

Selain minuman, warga emas itu menjual makanan tengah hari juga pada harga yang berpatutan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN