KUALA LANGAT: Yayasan Sa-HasanahKu dan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), menyerahkan sumbangan berjumlah RM35,000 kepada lima sekolah di Sijangkang yang terjejas akibat ribut dan puting beliung pada Oktober lepas.
Bantuan tersebut dijangka akan digunakan bagi pembelian peralatan dan kelengkapan yang rosak bagi membolehkan kesemua pelajar kembali ke sekolah pada sesi 2026 bermula 12 Januari ini.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, sehingga kini sekolah-sekolah di sini masih memerlukan keperluan seperti perabot termasuk kerusi dan meja yang kebanyakannya rosak akibat ribut berkenaan.
“Isu bumbung sudah selesai, cuma mungkin perabot-perabot dalaman masih belum. Pengurusan sekolah pula sedang mengatur beberapa keperluan yang perlu diatur semula.
“Keseluruhan peralatan masih belum lengkap termasuklah di kantin dan sebagainya. Sebab itu ada usaha di (pelbagai) peringkat (termasuk) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing untuk menggunakan peruntukan sumbangan itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan SK Sijangkang Jaya, SK Jalan Tanjung serta Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan rosak teruk susulan insiden ribut dan puting beliung pada 15 Oktober.
Bencana tersebut menyebabkan kerosakan pada struktur bumbung, peralatan sekolah serta beberapa kemudahan lain sehingga memaksa lebih 5,000 pelajar meneruskan pembelajaran secara PdPR.
Insiden tersebut turut memusnahkan sebuah pusat khidmat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan mencetuskan kerosakan di 40 buah rumah di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Presiden 5PM, Datuk Jemale Paiman memberitahu, pihaknya mewujudkan tabung khas sejak Oktober lalu bagi mengumpulkan sumbangan sebelum diserahkan kepada sekolah-sekolah terlibat.
Kita menerima sumbangan daripada ahli persatuan, jawatankuasa persatuan peringkat negeri dan sebagainya dan berjaya mengumpulkan sehingga RM10,000 dalam tempoh tiga bulan.
“Tabung itu ditubuhkan kali pertama (sejak tragedi ribut dan puting beliung tersebut), ia bukan sahaja untuk bantuan bencana, tetapi juga untuk kebajikan para pesara serta ahli keluarga.
“Jadi, itu adalah yang pertama dan menjadi petanda baik bagi persatuan mengadakan bantuan pendidikan. Kita akan memberikan bantuan (melalui dana tersebut) kepada sekolah-sekolah yang memerlukan. Akan datang di Perlis, dua buah sekolah akan kita beri bantuan,” ujarnya. – UTUSAN










