Venezuela ‘pentas’ uji diplomasi China

Venezuela ‘pentas’ uji diplomasi China

PENYOKONG Nicolas Maduro membawa potret beliau semasa perhimpunan di luar Parlimen Venezuela di Caracas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Diplomat tertinggi China menuduh Amerika Syarikat (AS) bertindak seperti ‘hakim dunia’ berhubung penahanan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro dan mempersoalkan tindakan itu di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China mengamalkan dasar tidak campur tangan dan secara rutin mengkritik sebarang aktiviti ketenteraan yang dilakukan tanpa kelulusan Majlis Keselamatan PBB (UNSC). 

Namun, penyingkiran Maduro yang merupakan antara rakan strategik rapat China menjadi ujian besar bagi Beijing dan menguji peranannya dalam menangani isu-isu panas global tanpa mengikuti jejak Washington secara ketenteraan.

“Kami tidak pernah percaya mana-mana negara boleh bertindak sebagai polis dunia, dan kami juga tidak menerima mana-mana negara mendakwa dirinya sebagai hakim dunia.

“Kedaulatan dan keselamatan semua negara harus dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Menteri Luar China, Wang Yi, kepada rakan sejawatnya dari Pakistan dalam satu pertemuan di Beijing merujuk kepada perkembangan di Venezuela tanpa menyebut AS secara langsung.

Maduro mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dadah di sebuah mahkamah di New York. Ketika perbicaraan, beliau menegaskan masih lagi Presiden Venezuela dan kini menjadi tahanan perang AS. 

Selepas pendengaran itu, Presiden AS, Donald Trump menyifatkan perbicaraan Maduro sebagai ‘detik luar biasa dalam sejarah’ namun menyangkal dakwaan AS sedang berperang dengan Venezuela

 “Tidak. Kami tidak berperang dengan Venezuela, tetapi dengan individu yang menjual dadah,” katanya.

UNSC mengadakan mesyuarat atas permintaan Colombia yang disokong oleh China dan Russia untuk membincangkan keputusan Trump, menahannya, yang menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, boleh mencetuskan contoh teladan yang berbahaya.

Dalam ucapan kepada mesyuarat itu, China menyatakan rasa terkejut dan mengecam tindakan AS, yang merupakan satu daripada lima anggota tetap UNSC.

“Pengajaran sejarah memberi amaran jelas. Pendekatan ketenteraan bukanlah penyelesaian kepada masalah dan penggunaan kekuatan secara sewenang-wenangnya hanya akan membawa kepada krisis yang lebih besar.,” kata Timbalan Wakil Tetap China ke PBB, Sun Lei.

Penganalisis berkata, China, ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagangan global utama, akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan kritikan terhadap tindakan Washington.

“China mungkin tidak dapat memberikan sokongan material kepada Venezuela pada masa ini, tetapi dari segi retorik, peranan Beijing sangat penting dalam mengetuai usaha di PBB dan bersama negara-negara membangun lain untuk membina pendapat menentang AS.

“Dalam kes Zimbabwe dan Iran yang disekat oleh Barat, China menunjukkan komitmennya terhadap hubungan ini melalui perdagangan dan pelaburan, walaupun dalam keadaan sukar ,” kata Pengasas Bersama China-Global South Project, Eric Olander.

TAMPARAN BESAR BUAT CHINA

Negara-negara Amerika Latin yang menandatangani Inisiatif Keselamatan Global Presiden China, Xi Jinping kini tertanya-tanya bagaimana pakatan itu akan melindungi mereka jika diuji dengan perkara sama.

Jinping pada Isnin menggesa semua negara mematuhi undang-undang antarabangsa dan prinsip PBB, serta menegaskan kuasa besar harus menjadi contoh, tanpa menamakan AS atau Venezuela.

Beijing berjaya meyakinkan beberapa negara Amerika Latin untuk menukar pengiktirafan diplomatik daripada Taiwan kepada China, termasuk Costa Rica, Panama, Republik Dominika, El Salvador, Nicaragua, dan Honduras dalam 20 tahun terakhir.

Venezuela menukar pengiktirafan pada 1974 dan hubungan itu diperkukuh di bawah bekas tentera sosialis, Hugo Chavez yang memegang kuasa pada 1998 dan menjadi sekutu paling rapat China di Amerika Latin dan ketika itu menjauhkan negaranya daripada Washington.

Hubungan rapat ini berterusan selepas kematian Chavez pada 2013 dan pengambilalihan kuasa oleh Maduro, termasuk mendaftarkan anak lelakinya di Universiti Peking pada 2016.

Sebagai balasan, Beijing menyalurkan dana ke loji penapisan minyak dan infrastruktur Venezuela, memberikan talian hayat ekonomi ketika AS dan sekutunya mengetatkan sekatan sejak 2017. 

China membeli barangan bernilai hampir AS$1.6 bilion (RM6.48 bilion) pada 2024, menurut data kastam China, dengan minyak menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah itu.

“Ia satu tamparan besar kepada China, kami mahu kelihatan sebagai rakan yang boleh dipercayai kepada Venezuela,” kata seorang pegawai kerajaan China.

Pegawai berkenaan turut memaklumkan tentang pertemuan antara Maduro dan wakil khas China untuk Amerika Latin dan Caribbean, Qiu Xiaoqi, beberapa jam sebelum bekas Presiden Venezuela itu ditahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN