Venezuela cuba tolak ansur dengan AS

Venezuela cuba tolak ansur dengan AS

DELCY Rodríguez (tengah) berbincang dengan barisan pentadbirannya semasa mesyuarat majlis menteri di ibu pejabat di Caracas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Pemimpin baharu Venezuela, Delcy Rodríguez menawarkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam agenda yang memfokuskan kepada ‘pembangunan bersama’ selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam akan melancarkan serangan kedua di Caracas.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Rodríguez berkata, kerajaannya mengutamakan usaha ke arah hubungan yang saling menghormati dengan AS, mengubah nadanya selepas sebelum ini mengecam serbuan ketenteraan AS sebagai tindakan haram untuk merampas sumber negara.

“Kami menjemput kerajaan AS untuk bekerjasama dengan kami dalam satu agenda kerjasama yang berorientasikan pembangunan bersama, dalam kerangka undang-undang antarabangsa, bagi memperkukuh keharmonian komuniti yang berkekalan.

“Trump, rakyat kami dan rantau ini memerlukan keamanan dan dialog, bukan peperangan,” kata Rodríguez.

Rodríguez, yang juga memegang jawatan sebagai menteri minyak, lama dianggap sebagai tokoh paling pragmatik dalam lingkaran dalaman bekas Presiden, Nicolas Maduro. Trump sebelum ini menyatakan Rodríguez bersedia untuk bekerjasama dengan AS.

Namun secara terbuka, Rodríguez dan pegawai kerajaan lain sebelum ini menyifatkan penahanan Maduro dan isterinya, Cilia Flores, sebagai satu penculikan serta menegaskan Maduro masih merupakan pemimpin sah negara itu.

Trump pada Ahad berkata, beliau boleh mengarahkan satu lagi serangan sekiranya Venezuela gagal bekerjasama dengan usaha AS untuk membuka industri minyaknya dan menghentikan penyeludupan dadah. 

Beliau turut mengancam tindakan ketenteraan terhadap Colombia dan Mexico, serta mendakwa rejim komunis Cuba kelihatan hampir runtuh dengan sendirinya. 

MADURO DIHADAP KE MAHKAMAH AS

Kenyataan Rodríguez dikeluarkan sehari sebelum Maduro hadir di hadapan hakim persekutuan di New York.

Pentadbiran Trump menggambarkan penahanan Maduro sebagai tindakan penguatkuasaan undang-undang untuk mempertanggungjawabkannya atas pertuduhan jenayah yang difailkan pada 2020, termasuk konspirasi narko-keganasan.

Bagaimanapun, Trump mengakui faktor lain turut mempengaruhi serbuan tersebut, termasuk kemasukan besar pendatang Venezuela ke AS serta keputusan negara itu menasionalisasikan kepentingan minyak Washington beberapa dekad lalu.

“Kami mengambil semula apa yang mereka curi. Kami kini berkuasa,” katanya di dalam pesawat Air Force One ketika pulang ke Washington dari Florida.

Trump berkata, syarikat minyak akan kembali ke Venezuela dan membina semula industri petroleum negara itu. 

“Mereka akan melabur berbilion dolar dan mengeluarkan minyak dari dalam tanah,” katanya.

Harga minyak global meningkat sedikit dalam dagangan tidak menentu apabila pelabur menilai implikasi tindakan ketenteraan AS di Venezuela, manakala pasaran saham Asia mencatatkan kenaikan.

Maduro, 63, berdepan pertuduhan menyokong kumpulan pengedaran dadah utama, termasuk Kartel Sinaloa dan geng Tren de Aragua. 

Pendakwa mendakwa beliau mengarah laluan penyeludupan kokain, menggunakan tentera untuk melindungi penghantaran, melindungi kumpulan ganas dan menggunakan kemudahan Presiden untuk memindahkan dadah.

Pertuduhan yang mula difailkan pada 2020 itu dikemas kini pada Sabtu untuk memasukkan isterinya, Cilia Flores yang turut ditahan dan dituduh mengarahkan penculikan serta pembunuhan. 

Jika disabitkan, Maduro boleh menghadapi hukuman puluhan tahun hingga penjara seumur hidup bagi setiap pertuduhan.

Maduro menafikan semua tuduhan, dan perbicaraannya dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk bermula.

Rodríguez, pada Ahad menubuhkan sebuah suruhanjaya khas bagi berusaha mendapatkan pembebasan Maduro dan Flores.

Beliau melantik abangnya, Jorge Rodríguez, Presiden Majlis Nasional dan Menteri Luar, Yvan Gil, sebagai pengerusi bersama suruhanjaya itu.

Menteri Maklumat, Freddy Nanez, turut dilantik sebagai anggota suruhanjaya, menurut pengumuman rasmi.

AS lama menganggap Maduro sebagai diktator tidak sah sejak beliau mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya 2018 yang dicemari dakwaan penyelewengan besar-besaran. 

Namun Trump menolak cadangan agar pemimpin pembangkang dan penerima Hadiah Keamanan Nobel, María Corina Machado mengambil alih pemerintahan, mendakwa beliau tidak mempunyai sokongan mencukupi.

Machado dilarang bertanding dalam pilihan raya 2024, namun mendakwa sekutunya, Edmundo González, mempunyai mandat untuk menjadi Presiden, dengan beberapa pemerhati antarabangsa menyatakan beliau menang besar dalam undian tersebut.

Walaupun Maduro mempunyai sedikit sekutu di peringkat global, banyak negara mempersoalkan kesahihan penahanan seorang ketua negara asing dan menggesa AS menghormati undang-undang antarabangsa.

Di Washington, serbuan itu turut menimbulkan persoalan apabila pembangkang Demokrat mendakwa mereka diperdaya mengenai dasar Venezuela pentadbiran Trump. 

Dahulunya antara negara paling makmur di Amerika Latin, ekonomi Venezuela runtuh sepanjang dua dekad lalu, menyebabkan kira-kira satu daripada lima rakyatnya berhijrah ke luar negara dalam penghijrahan antara terbesar dunia.

Penyingkiran Maduro, bekas pemandu bas yang memerintah Venezuela selama lebih 12 tahun selepas kematian Hugo Chávez, berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih besar di negara berpenduduk 28 juta orang itu.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN