Power Root naikkan harga, imbangi peningkatan kos 

Power Root naikkan harga, imbangi peningkatan kos 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar minuman bertenaga, Power Root melaksanakan kenaikan harga secara menyeluruh di beberapa pasaran utama bagi mengimbangi peningkatan kos input, menurut RHB Research. 

Langkah ini dijangka menyokong pemulihan margin keuntungan secara berperingkat dalam suku-suku akan datang.

RHB Research berkata, Power Root dijangka mencatat pemulihan prestasi yang lebih kukuh, dipacu oleh lantunan semula jualan eksport seawal bagi suku pertama tahun kewangan 2027. 

Katanya, pemulihan ini disokong oleh penggunaan laluan penghantaran alternatif ke pasaran Asia Barat serta sumbangan lebih bermakna daripada pengedar baharu di pasaran utama yang baru mengambil alih operasi.

“Selain itu, penstrukturan semula cukai gula di beberapa pasaran eksport utama yang mula berkuat kuasa sejak Januari 2026 dijangka menjadi pemangkin tambahan kepada pertumbuhan permintaan, apabila harga jualan produk menjadi lebih kompetitif di pasaran sasaran,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam masa sama, RHB Research berkata, pasaran domestik dijangka kekal stabil, disokong oleh usaha pemasaran berterusan serta kekuatan jenama syarikat yang sudah kukuh dalam segmen minuman segera.

“Dari sudut kos, syarikat telah melaksanakan pelarasan harga produk bagi menampung peningkatan kos input. 

“Langkah ini dijangka membantu menstabilkan margin keuntungan secara berperingkat dalam suku-suku akan datang seiring pemulihan jualan,” katanya.

Dalam pada itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan Neutral terhadap saham Power Root, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.09 daripada RM1.11, mewakili potensi penurunan sekitar lima peratus dengan unjuran hasil dividen sekitar enam peratus bagi tahun kewangan 2027.

Bagi tahun kewangan tahun kewangan 2026, keuntungan bersih teras Power Root susut 47 peratus tahun ke tahun kepada RMM17 juta, hanya mencapai 77 peratus daripada unjuran awal penganalisis. 

Hasil kumpulan turut jatuh 19 peratus kepada RM337 juta, dipengaruhi oleh kelemahan jualan eksport serta gangguan penghantaran ke Asia Barat akibat konflik geopolitik.

Pada asas suku tahunan, prestasi suku keempat tahun kewangan 2026 turut merosot dengan jualan dan keuntungan bersih masing-masing turun 15 peratus dan 51 peratus berbanding suku sebelumnya.

Dividen sesaham (DPS) tahun kewangan 2026 berjumlah 4.25 sen, mencerminkan nisbah pembayaran melebihi 100 peratus berbanding 6.5 sen pada tahun kewangan 2025 (sekitar 90 peratus).

Susulan keputusan tersebut, penganalisis mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2027 hingga tahun kewangan 2028 masing-masing sebanyak 21 peratus dan 17 peratus serta memperkenalkan tahun kewangan 2029 dengan pertumbuhan dijangka 15 peratus tahun ke tahun. 

Penilaian TP baharu diperoleh melalui kaedah DCF dengan pertimbangan diskaun ESG sebanyak 6 peratus berdasarkan skor ESG 2.7.

RHB Research turut menjangkakan pemulihan lebih jelas selepas pertukaran pengedar di pasaran eksport utama selesai dilaksanakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN