WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan penasihatnya sedang meneliti ‘pelbagai pilihan’ dalam usaha untuk mengambil alih Greenland, termasuk penggunaan ketenteraan.
Rumah Putih dalam kenyataan pada Selasa berkata, penggunaan tentera AS untuk tujuan tersebut juga merupakan antara pilihan yang dipertimbangkan.
“Presiden Trump menjelaskan memperoleh Greenland adalah keutamaan keselamatan negara bagi AS, dan ia penting untuk menghalang musuh kita di rantau Artik.
“Presiden dan pasukannya sedang membincangkan pelbagai pilihan untuk mencapai matlamat dasar luar negara yang penting ini, dan sudah tentu menggunakan tentera AS sentiasa menjadi satu pilihan yang ada di tangan ketua angkatan tentera,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt.
Kenyataan Leavitt dibuat ketika pemimpin kuasa besar Eropah menentang hasrat Trump untuk kembali merampas wilayah Artik itu.
Dalam satu kenyataan solidariti kelmarin, pemimpin Perancis, Jermain, Britain dan beberapa negara lain mengeluarkan kenyataan bersama menyokong Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, dan menyeru AS menghormati kedaulatan Greenland.
Menerusi kenyataan tersebut, mereka menegaskan keselamatan Artik merupakan keutamaan bagi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), pakatan pertahanan yang merangkumi AS dan Greenland.
“Greenland adalah milik rakyatnya. Hanya Denmark dan Greenland sahaja yang berhak membuat keputusan mengenai hal ehwal negara mereka,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Frederiksen memberi amaran sebarang serangan AS terhadap sekutu NATO seperti Greenland akan membawa kepada ‘pengakhiran’ pakatan tentera itu dan keselamatan pasca Perang Dunia Kedua.
Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, turut menggesa Trump menghentikan ‘fantasinya tentang pengilhakan’ dan mengecam retorik AS sebagai tidak boleh diterima.
Desakan Trump supaya AS mengambil alih Greenland muncul semula selepas penangkapan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, oleh pasukan elit Amerika pada Sabtu lalu.
Sehari kemudian, Trump menegaskan AS sangat ‘memerlukan Greenland’, meningkatkan ketegangan antara Washington, wilayah separa autonomi Denmark serta negara Eropah.- THE GUARDIAN










