Trump lantik Rubio, Tony Blair dalam Lembaga Keamanan Gaza

Trump lantik Rubio, Tony Blair dalam Lembaga Keamanan Gaza

KEADAAN di kawasan khemah perlindungan yang menempatkan rakyat Palestin di sepanjang pantai di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat melantik Setiausaha Negara, Marco Rubio dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai ahli pengasas Lembaga Keamanan Gaza.

Trump juga menamakan utusan khasnya Steve Witkoff, menantunya Jared Kushner dan Presiden Bank Dunia, Ajay Banga, untuk menganggotai lembaga eksekutif pengasas, yang terdiri daripada tujuh anggota, menurut kenyataan Rumah Putih.

Trump sendiri akan mengetuai lembaga itu, dan berkata anggota tambahan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

Blair adalah pilihan yang kontroversi di Asia Barat kerana peranannya dalam pencerobohan Iraq pada 2003, dan Trump sendiri berkata tahun lalu beliau mahu memastikan Blair adalah pilihan yang diterima oleh semua pihak.

Trump mengumumkan pembentukan Lembaga Keamanan kelmarin, sebagai elemen utama fasa kedua dalam rancangan yang disokong AS untuk menamatkan perang di Gaza.

Presiden AS itu berkata, ia adalah ‘lembaga terhebat dan paling berprestij’ yang pernah dibentuk pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Pembentukan lembaga ini diumumkan tidak lama selepas pengumuman jawatankuasa teknokrat Palestin yang terdiri daripada 15 anggota, bertanggungjawab untuk mengurus pentadbiran harian Gaza yang musnah akibat perang.

Penduduk Gaza dan bekas timbalan menteri Kerajaan Palestin, Ali Shaath, akan mengetuai jawatankuasa baharu itu.

Trump pada Jumaat juga melantik Leftenan Jeneral AS, Jasper Jeffers untuk mengetuai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza.

Rancangan keamanan Gaza yang disokong AS mula berkuat kuasa pada 10 Oktober, membawa kepada pemulangan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas serta pengakhiran pertempuran antara kumpulan militan Palestin itu dan Israel di wilayah yang dikepung tersebut.

Fasa kedua rancangan itu kini sedang dijalankan, walaupun dibayangi oleh tuduhan kekurangan bantuan dan keganasan.

Sementara itu, Hamas enggan membuat komitmen secara terbuka untuk pelucutan senjata sepenuhnya, yang merupakan tuntutan tidak boleh dirunding oleh Israel.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN