KANGAR: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian mereka dalam Pas kepada Majlis Syura Ulama, yang dibuat berlandaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan parti Islam itu.
Mereka ialah Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).
Difahamkan, notis rayuan itu sudah disampaikan kepada Mursyidul Am dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.
Bagaimanapun, setakat ini, Majlis Syura Ulama Pas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung rayuan berkenaan
Mohd. Ridzuan berkata, mereka berpandangan bahawa Perlembagaan Pas membenarkan mana-mana ahli yang dikenakan tindakan tatatertib mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
“Majlis Syura Ulama mempunyai bidang kuasa untuk meneliti dan memutuskan rayuan itu sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 9 Perlembagaan Pas yang memperincikan peranan majlis berkenaan sebagai badan tertinggi parti dalam menentukan dasar, tafsiran serta penyelesaian isu utama,” katanya.
Katanya, mereka masih berharap untuk diterima sebagai ahli Pas dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka berhubung isu yang berlaku.
Mengulas tindakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kangar semalam, beliau menjelaskan bahawa langkah itu bukan bertujuan mencampuri urusan parti.
Sebaliknya, ia bagi mendapatkan pengesahan undang-undang sama ada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bertindak di luar bidang kuasa yang diperuntukkan undang-undang atau sebaliknya.
“Kami dengan penuh hormat menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan mahkamah untuk menentukannya mengikut lunas perundangan.
“Dalam pada itu, kami menyeru semua pihak supaya menghormati proses perundangan serta tatatertib parti yang sedang berjalan dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan dalam Pas,” katanya.-UTUSAN










