MN: Pemuda ada hak bersuara, Perlis ikut keputusan pusat

MN: Pemuda ada hak bersuara, Perlis ikut keputusan pusat

TIGA Ketua UMNO Bahagian di Perlis iaitu Rozabil Abd. Rahman (Arau), Fathul Bari Mat Jahya (Kangar) dan Ruzaini Rais (Padang Besar) menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kangar, Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO Perlis mengikut cadangan dan keputusan kepemimpinan tertinggi parti khususnya berkaitan kerjasama atau jajaran baharu antara Pas dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, sayap pemuda telah menyuarakan pandangan berkaitan penyatuan dalam MN dan sudah pasti ia akan dibawa ke peringkat atasan untuk dibincangkan.

Katanya, dalam sistem UMNO, sayap parti bebas bersuara dan boleh memberikan sebarang pandangan.

Rozabil merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, keputusan akhir berkaitan cadangan tersebut tentunya diputuskan oleh kepemimpinan tertinggi.

“Kita (UMNO) di Perlis akan ikut segala cadangan atau jajaran yang akan dibuat oleh UMNO dalam berdepan PRU16. Apa yang pasti, keputusan dibuat oleh UMNO itu akan memberi keuntungan kepada parti.

“Pemuda UMNO telah mengemukakan pandangan mereka, saya percaya ia akan dibawa ke peringkat atasan. Apa dibawa oleh Pemuda UMNO itu juga ada rasionalnya dan semestinya ia akan diambil peluang oleh negeri-negeri memberi respons terhadap cadangan oleh pemuda tersebut,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO berhubung hala tuju dalam Kerajaan Perpaduan menuntut penyatuan orang Melayu dimulakan segera antara UMNO dan Pas melalui MN serta cada­ngan supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Muhamad Akmal berkata, penyatuan itu penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu terus terpelihara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar dan sudah tiba masanya dua parti terbesar Melayu tersebut mengetepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu, katanya, UMNO Perlis akan melaksanakan jelajah di seluruh 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendekati rakyat dengan lebih dekat.

Katanya, program tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Sebagai persiapan menghadapi PRU16, UMNO Perlis akan memulakan jelajah ke semua DUN yang antara fokus kepada pemerkasaan jentera parti di semua pusat daerah mengundi (PDM) dan kesiapsiagaan di tiga-tiga Parlimen serta pemantapan hubungan UMNO dengan rakyat di akar umbi seluruh DUN di Perlis.

“Program jelajah DUN ini bukan sahaja melibatkan ahli-ahli UMNO tetapi bersama semua golongan masyarakat di setiap DUN yang akan kita turun nanti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN