PETALING JAYA: Malaysia perlu menggubal dan memperkukuh undang-undang yang lebih tegas bagi menangani isu sisa plastik dan sisa elektrik serta elektronik (e-waste) supaya negara ini tidak terus menjadi destinasi pelupusan sisa haram antarabangsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Professor Dr. Ahmad Ismail, berkata tiga langkah utama perlu diberi keutamaan oleh kerajaan dan pihak berkuasa bagi membanteras penipuan pengisytiharan barangan import melibatkan e-waste.
Menurut beliau, langkah pertama ialah mengemas kini serta memperkukuh undang-undang dan peraturan berkaitan import sisa elektrik dan elektronik merangkumi keseluruhan rantaian pengurusan sisa, bermula daripada sumber, pengumpulan, pengangkutan, pemprosesan hingga pelupusan.
Tambahnya, peruntukan undang-undang berkaitan kesan e-waste terhadap alam sekitar, isu kecurian serta penyeludupan juga perlu diberi perhatian serius, dengan peraturan sedia ada berkaitan bahan berbahaya lain dijadikan rujukan.
“Langkah kedua melibatkan pemerkasaan kerjasama dan penyelarasan antara pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan lain.
“Perkongsian maklumat, pandangan dan pelaksanaan operasi bersama amat penting bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pengisytiharan palsu,” katanya.
Beliau berkata, langkah ketiga ialah memperluas pendidikan dan kesedaran awam, khususnya melalui pelaksanaan aktiviti Communication, Education and Public Awareness (CEPA) merentasi pelbagai lapisan masyarakat dan saluran media.
“Kegagalan menangani isu e-waste secara berkesan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan awam serta imej negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Presiden GRASS Malaysia, Mohd. Yusaimi Md Yusof, berkata data Jabatan Alam Sekitar yang merekodkan kemasukan 701 kontena e-waste, dengan setiap kontena dianggarkan membawa 20 metrik tan sisa empat tahun lalu, membuktikan masalah itu bukan kes terpencil.
Katanya, jika penguatkuasaan gagal diperkukuh, Malaysia berisiko mewarisi tanah yang tidak selamat untuk didiami.
“Malaysia perlu lebih vokal dalam menyuarakan pelaksanaan Konvensyen Basel dan menuntut negara maju bertanggungjawab mengurus sisa mereka sendiri, bukannya mengeksport ‘masalah’ atas alasan kitar semula.
“Ia selari dengan prinsip ‘Polluter Pays’, di mana negara pengeksport perlu dikenakan tindakan undang-undang antarabangsa sekiranya sisa mereka ditemui di tapak haram negara membangun, selain sisa berkenaan dipulangkan semula ke negara asal,” jelasnya.
Pandangan sama turut disuarakan Naib Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, Randolph Jeremiah, yang menegaskan tekanan juga perlu dikenakan terhadap negara pengeksport walaupun pemantauan dan penguatkuasaan domestik telah dipertingkatkan.
“Negara-negara ini perlu mengawal eksport haram sisa mereka, memantau penjanaan e-sisa dan meningkatkan kadar kitar semula domestik,” katanya.
Menurut beliau, perdagangan e-waste secara haram merupakan aktiviti yang sangat menguntungkan sekiranya pelupusan dilakukan secara tidak bertanggungjawab.
“Disebabkan itu, pengimport haram sentiasa mencari kaedah baharu untuk mengelak dikesan dan didakwa.
“Walaupun pihak berkuasa berjaya menumpaskan beberapa kes import haram berskala besar melalui rampasan dan pendakwaan, masalah ini dijangka berterusan selagi penjanaan e-sisa global kekal tinggi,” katanya.
Laporan Utusan Malaysia mendedahkan sebanyak 701 kontena sisa elektronik e-waste dikesan cuba diseludup masuk ke negara ini sepanjang tempoh
empat tahun lalu, dengan setiap kontena dianggarkan membawa 20 tan metrik e-waste.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, cabaran utama penguatkuasaan ialah penggunaan modus operandi yang semakin kompleks.
Hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu melibatkan JAS serta agensi berkaitan, sebanyak 428 kontena daripada jumlah yang dikesan telah dipulangkan semula ke negara asal. – UTUSAN










