Delcy Rodriguez angkat sumpah presiden sementara Venezuela

Rodriguez angkat sumpah presiden sementara Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Bekas Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, secara rasmi mengangkat sumpah untuk memimpin negara Amerika Selatan itu selepas penyandangnya, Nicolas Maduro, ditangkap dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS).

Semalam, Rodriguez hadir di hadapan Dewan Negara Venezuela untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden sementara.

Berucap di hadapan badan perundangan yang sebahagian besarnya terdiri daripada penyokong kerajaan, Rodríguez menegaskan semula penentangannya terhadap serangan ketenteraan yang membawa kepada penangkapan dan penyingkiran Maduro serta isterinya, Cilia Flores.

“Saya datang dengan rasa duka atas penculikan dua wira yang kini dijadikan tebusan: Presiden Nicolás Maduro dan Wanita Pertama Cilia Flores.

“Saya bersumpah akan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menjamin keamanan serta ketenteraman rohani, ekonomi dan sosial rakyat kita,” kata Rodríguez, 56, kepada perhimpunan itu.

Bekas peguam buruh itu telah berkhidmat sebagai pemangku presiden sejak serangan awal pagi yang mengakibatkan penculikan berkenaan.

Letupan dilaporkan berlaku sebelum subuh pada Sabtu di ibu negara Caracas, serta di beberapa pangkalan tentera Venezuela berdekatan dan beberapa kawasan awam.

Majlis angkat sumpah pada Isnin diselia oleh abang Rodríguez sendiri – Presiden Dewan Negara, Jorge Rodríguez – serta anak lelaki Maduro, Nicolás Maduro Guerra, yang memegang salinan Perlembagaan Venezuela.

Anggota lain daripada lingkungan dalaman Maduro, termasuk Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello dan Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino, turut hadir.

Majlis tersebut berlangsung ketika Maduro berdepan prosiding pendakwaan di sebuah mahkamah di New York City.

Pendakwa persekutuan di AS mendakwa Maduro atas empat pertuduhan berkaitan dakwaan menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk mengeksport beribu-ribu tan kokain ke Amerika Utara.

Pertuduhan itu termasuk konspirasi narko-keganasan, konspirasi mengimport kokain, pemilikan senjata api automatik dan peranti pemusnah lain secara haram, serta konspirasi untuk memiliki senjata dan peranti berkenaan.

Maduro dan isterinya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut, manakala sekutu mereka, termasuk Rodríguez, mengecam penculikan pasangan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta kedaulatan Venezuela.- AL JAZEERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN