BUTTERWORTH : Rawatan ortopedik atau cabang perubatan yang berkait dengan diagnosis serta rawatan sistem otot rangka ketika ini menerima permintaan yang agak tinggi di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi golongan muda, rawatan itu akan diberikan selepas mereka mengalami kecederaan akibat bersukan.
Katanya, dalam kalangan warga emas pula, rawatan tersebut boleh dimanfaatkan oleh mereka yang kerap mengalami masalah sakit lutut, pinggul dan sebagainya.
“Jadi, memang ada permintaan yang ketara terhadap bidang perawatan ortopedik ini di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Ortopedik Teknologi Perubatan Termaju di Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang di Seberang Jaya, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap sempena majlis itu, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyokong sebarang inisiatif berkaitan penjagaan kesihatan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pelancaran satu lagi pusat ortopedik di negeri ini turut mengukuhkan status Pulau Pinang sebagai salah satu daripada destinasi penjagaan kesihatan yang terkemuka di rantau ini.-UTUSAN










