PHNOM PENH: Kemboja pada Selasa memulakan proses penyelesaian pertikaian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan negara jiran, Thailand, berhubung tuntutan maritim bertindih di Teluk Thailand yang dianggarkan mempunyai rizab tenaga bawah laut bernilai kira-kira AS$300 bilion (RM1.18 trilion).
Kedua-dua negara Asia Tenggara itu sekian lama bertelagah mengenai wilayah maritim dan penandaan sempadan darat sepanjang 800 kilometer, warisan yang berpunca daripada era penjajahan Perancis.
Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Disember lalu selepas dua pusingan pertempuran sempadan yang mengorbankan nyawa, namun mereka berulang kali saling menuduh melanggar syarat perjanjian tersebut.
Langkah Kemboja memulakan proses pengantaraan itu, yang dibuat di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), menyusul selepas Thailand pada Mei lalu membatalkan perjanjian dua hala yang dimeterai pada 2001 berhubung tuntutan maritim bertindih dan penerokaan sumber tenaga.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, kerajaannya membatalkan memorandum persefahaman yang dikenali sebagai MoU 44 berikutan kebuntuan berpanjangan dalam usaha melaksanakan perjanjian tersebut.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menerusi stesen televisyen milik kerajaan TVK hari ini berkata, kerajaannya mengemukakan notis rasmi kepada Thailand dan Setiausaha Agung PBB untuk ‘memulakan prosiding pendamaian mandatori’ di bawah UNCLOS.
“Kami mengambil langkah ini bagi melindungi kedaulatan serta hak maritim Kemboja selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata Hun Manet.
“Baik Kemboja mahupun Thailand berpotensi meraih manfaat daripada penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dipersetujui dengan bimbingan pakar pendamai antarabangsa.”
Kedua-dua negara merupakan pihak yang menandatangani dan terikat dengan UNCLOS.
Kementerian Luar Thailand belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu pada Selasa.
Kementerian Tenaga Thailand menganggarkan hasil masa depan daripada minyak dan gas asli di kawasan tuntutan bertindih kedua-dua negara itu bernilai sekitar AS$300 bilion.
Pertikaian sempadan yang berlarutan antara kedua-dua negara jiran itu tercetus menjadi konflik bersenjata pada Julai dan Disember tahun lalu, mengorbankan puluhan nyawa serta menyebabkan beberapa kawasan di wilayah sempadan yang dituntut oleh kedua-dua negara berada di bawah kawalan Thailand.
Kemboja berulang kali menuntut supaya tentera Thailand berundur dari kawasan terbabit dan mengecam Bangkok susulan kerosakan yang dialami beberapa kuil warisan akibat pertempuran tersebut.- AFP










