NEW YORK: Protes tercetus di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) hujung minggu lalu, apabila orang ramai menentang campur tangan ketenteraan pentadbiran Presiden Donald Trump di Venezuela.
Demonstrasi itu berlaku walaupun sebahagian komuniti diaspora meraikan penyingkiran Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Protes itu berlangsung ketika orang ramai menyuarakan penentangan terhadap kemungkinan perang dengan Venezuela dan menegaskan operasi Washington menangkap Maduro pada Sabtu serta membawanya ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengedaran dadah sebagai haram.
Maduro hadir di mahkamah persekutuan di New York pada Isnin.
Ratusan orang berhimpun di bandar-bandar besar, termasuk Chicago, Dallas, New York, Philadelphia, Pittsburgh, San Francisco dan Seattle.
“Sama ada di Iraq bawah Saddam Hussein, Taliban di Afghanistan, Panama, Libya, anda namakan sahaja.
“Setiap kali AS menyerang negara lain, rakyat negara tersebutlah yang paling menanggung akibatnya,” kata jurucakap Jawatankuasa Menentang Perang dan Rasisme Chicago, Andy Thayer, kepada stesen ABC.
Sebahagian penunjuk perasaan juga berpendapat, Trump tidak mempunyai kuasa untuk melancarkan serangan ke atas Venezuela, sekurang-kurangnya tanpa kelulusan daripada Kongres.
Dalam protes di Seattle, yang dianjurkan kumpulan Bertindak Menghentikan Perang dan Menamatkan Rasisme, penunjuk perasaan dilihat memegang sepanduk bertulis ‘No Blood for Oil’ dan ‘Stop Bombing Venezuela Now!’.
“Kami berhimpun sebagai solidariti terhadap negara yang dicabuli kedaulatannya oleh kerajaan kami sendiri menggunakan wang cukai rakyat,” kata Taylor Young, penganjur bersama protes itu.
Anggota Demokrat mengecam tindakan Presiden AS itu kerana mengabaikan tanggungjawab perlembagaannya untuk melibatkan cabang kerajaan Kongres, manakala pemimpin antarabangsa menegaskan tindakan Washington melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- THE GUARDIAN










