Pengurus bar Switzerland didakwa bunuh tanpa niat

Pengurus bar Switzerland didakwa bunuh tanpa niat

PASUKAN penyelamat dilihat di lokasi kebakaran yang memusnahkan sebuah bar di bandar resort ski mewah Alpen di Crans-Montana, Switzerland.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CRANS-MONTANA: Pengurus bar di resort ski Switzerland, yang musnah dalam kebakaran semasa sambutan Tahun Baharu, kini disiasat atas dakwaan menyebabkan kematian tanpa niat.

Menurut pihak berkuasa, siasatan kini menumpukan kepada pasangan Perancis, Jacques dan Jessica Moretti, yang memiliki dan mengurus bar Le Constellation di Crans-Montana.

Bar tersebut dipenuhi pengunjung muda ketika kebakaran bermula di ruang bawah tanah sekitar pukul 1.30 pagi waktu tempatan Khamis lalu.

Sehingga kini, 40 orang dilaporkan maut manakala 119 lagi cedera, kebanyakannya dalam keadaan kritikal.

Puluhan mangsa dihantar ke negara berhampiran untuk rawatan segera, manakala pihak berkuasa menyalahkan bunga api kecil yang diletakkan pada botol minuman keras sebagai punca tercetusnya kebakaran dahsyat itu.

Pihak berkuasa di kanton Wallis di barat daya Switzerland dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, siasatan jenayah kini dibuka terhadap pengurus bar.

“Mereka didakwa dengan pembunuhan tanpa niat, menyebabkan kecederaan badan kerana kecuaian dan kebakaran akibat kecuaian,” menurut kenyataan itu.

Polis turut memaklumkan, setakat ini lapan warganegara Switzerland yang maut dalam kebakaran dikenal pasti, kesemuanya berusia bawah 24 tahun, termasuk dua remaja 16 tahun.

Media Itali melaporkan tiga rakyatnya turut dikenal pasti antara mangsa maut, memetik kenyataan duta Itali.

Crans-Montana merupakan destinasi popular pelancong antarabangsa, termasuk rakyat Perancis dan Itali, dan ramai warganegara asing antara mereka yang cedera dalam kebakaran itu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN