PETALING JAYA: Pakar penjagaan kesuburan terkemuka, Alpha IVF Group Berhad mengumumkan penubuhan Klinik Satelit Medan yang menandakan kehadiran bandar ketiga kumpulan itu di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya.
Pembukaan klinik baharu di Medan itu turut mengukuhkan strategi pemerolehan serta rujukan pesakit serantau Alpha IVF Group dengan memperluaskan kehadiran barisan hadapan ke Sumatera Utara yang menjadi antara kawasan penduduk paling padat di negara itu.
Model klinik satelit yang diguna pakai direka khas bagi menampung permintaan peringkat awal, memperkukuh penglibatan pesakit serta mengoptimumkan rujukan susulan ke pusat IVF sedia ada di Malaysia sambil mengekalkan disiplin penggunaan modal.
Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, pembangunan klinik itu hampir melengkapkan pelaksanaan rangkaian klinik satelit yang dirancang di Indonesia dengan tiga klinik kini beroperasi dan satu lagi dalam peringkat perancangan.
“Setiap klinik satelit ditempatkan secara strategik sebagai titik akses serantau untuk memperkukuh penglibatan pesakit sambil mengoptimumkan rujukan ke pusat IVF teras kami.
“Model yang cekap dari segi modal ini membolehkan kami berkembang secara berdisiplin, mengekalkan konsistensi klinikal dan menghasilkan tumpuan yang cukup terhadap penukaran pesakit seterusnya menyokong pertumbuhan pendapatan yang mampan dalam jangka sederhana,” katanya dalam kenyataan.
Penubuhan klinik Alpha IVF Group di Indonesia itu dilaksanakan secara berstruktur dan berfasa dengan Jakarta berperanan sebagai ibu pejabat operasi sejak Mei 2025, manakala Surabaya memulakan operasi pada Ogos 2025.
Kesemua lokasi itu membentuk rangkaian rujukan dan penglibatan pelbagai bandar yang kian berkembang, termasuk menawarkan liputan geografi lebih luas, pendedahan aliran pesakit lebih baik serta potensi penukaran dipertingkatkan tanpa memerlukan pelaburan modal awal yang besar.
Klinik Satelit Medan akan beroperasi di bawah kepimpinan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr. Djamin Kartarino yang memiliki pengalaman luas serta reputasi kukuh di peringkat tempatan.
Kepakaran klinikal dan kepercayaan masyarakat terhadap beliau dijangka menyokong penembusan pasaran, rujukan perubatan serta keyakinan pesakit yang menjadi faktor utama dalam keputusan rawatan kesuburan.
Klinik Medan dijangka menarik pesakit dari Sumatera Utara dan wilayah berdekatan termasuk Aceh serta Riau.
Kedudukan geografi Medan yang hampir dengan Pulau Pinang turut menyokong aliran pesakit rentas sempadan ke Genesis IVF, pusat IVF Kumpulan di Pulau Pinang yang mencatat peningkatan ketara permintaan daripada pesakit Indonesia.
Pada tahun kewangan 2025, pengambilan oosit (OPU) dari Indonesia menyumbang kira-kira 71.4 peratus daripada jumlah keseluruhan OPU Genesis IVF, sekali gus menggariskan kepentingan strategik pasaran Indonesia kepada Kumpulan.
Klinik Satelit Medan akan berfungsi sebagai pusat penglibatan dan penyelarasan pesakit barisan hadapan, menyediakan konsultasi kesuburan awal, penilaian diagnostik, pendidikan pesakit serta sokongan rujukan.
Pesakit yang memerlukan rawatan reproduktif berbantu lanjutan akan dirujuk ke pusat IVF komprehensif Alpha IVF Group di Malaysia.
Model bersepadu ini membolehkan Kumpulan meluaskan capaian serantau, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengekalkan standard klinikal dan operasi yang tinggi di samping menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan. – UTUSAN










