TELUK INTAN: Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Hilir Perak bercadang menaikkan tambang perkhidmatan mereka antara RM10 hingga RM20 bagi setiap pelajar.
Langkah itu susulan kos alat ganti dan upah penyelenggaraan kenderaan yang semakin membebankan pengusaha.
Pengerusi persatuan, P. N. Selvaraju berkata, keputusan itu dicapai hasil persetujuan 20 ahli yang terkesan dengan kenaikan harga komponen kenderaan serta kos membaiki bas.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan kenaikan tambang bergantung kepada persetujuan ibu bapa murid yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.
“Kami bukan sekadar menghantar murid ke sekolah, sebaliknya menjaga keselamatan dan kebajikan mereka sejak awal pagi. Tanggungjawab ini memerlukan komitmen tinggi serta kos operasi yang stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berharap ibu bapa mempertimbangkan kenaikan tambang demi kelangsungan perkhidmatan bas sekolah di daerah ini.
Selain isu tambang, Selvaraju berkata, pemandu bas sekolah turut merayu kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan tunai sekali bayar kerana mereka tiada sumber pendapatan pada November dan Disember akibat cuti sekolah.
Katanya, persatuan berharap kerajaan membenarkan bas sekolah digunakan untuk membawa penumpang awam pada Sabtu dan Ahad melalui kelulusan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi menambah pendapatan.
“Pendapatan daripada tambang bas sahaja tidak mencukupi. Kami terpaksa mencari sumber lain untuk menampung perbelanjaan harian dan penyelenggaraan kenderaan,” katanya.
Selvaraju turut memaklumkan pemandu bas sekolah berharap pihak berkaitan dapat menyelaraskan waktu pulang sekolah supaya serentak di semua sekolah di daerah ini.
Waktu pulang yang berbeza-beza menyukarkan pemandu mengambil murid dalam satu perjalanan dan menjejaskan kecekapan operasi.
Persatuan juga berharap pihak berwajib dapat membantu supaya aliran trafik di pekarangan sekolah ketika waktu pulang adalah lancar.
“Langkah pengurusan trafik yang lebih teratur amat diperlukan, khususnya bagi memastikan bas sekolah tidak terperangkap lama dalam kesesakan,” katanya.-UTUSAN.










