Pas panggil mesyuarat tergempar MT PN

Pas panggil mesyuarat tergempar MT PN

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mengutuskan surat kepada Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis Ter­tinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) bagi mengadakan mesyua­rat tergempar untuk membincangkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melantik penggantinya.

Perkara itu dikongsikan Pre­siden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui akaun sosial medianya semalam dan memaklumkan beliau telah pun mengutuskan surat tersebut kelmarin.

Dalam surat itu, Abdul Hadi memberitahu bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN pada 30 Disember lalu dan peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa pada 1 Januari yang lalu.

“Di pihak Pas, kami menghormati dan menerima keputusan yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta me­rakam setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang menerajui PN dalam tempoh sebelum ini.

“Bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN maka saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(1)(b) Perlembagaan PN.

“Iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN dan melantik Pengerusi PN yang baharu,” katanya dalam surat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya berharap perkara itu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.

Bagaimanapun, dalam surat diutuskan tidak dinyatakan bila mesyuarat tergempar tersebut akan diadakan.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan meletak jawatan Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon yang akan memimpin gabungan itu dengan antara nama disebut adalah Abdul Hadi sendiri namun beliau menolak jawatan tersebut kerana keuzuran.

Antara nama lain yang turut diperkatakan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, sebarang perkara mengenai peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN termasuk mengenai dakwaan pemberian surat penghargaan hanya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas telah me­nerima surat peletakan jawatan tersebut dan mesyuarat yang akan dijalankan kelak akan membuat keputusan rasmi mengenainya termasuk berkenaan hubungan kepemimpinan dalam gabu­ngan itu.

“Pas menerima surat peletakan jawatan tersebut dan akan membawanya ke Mesyua­rat Majlis Tertinggi PN untuk perbincangan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memberitahu Pas telah menghantar surat penghargaan kepada Muhyiddin melalui Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu pertemuan sebelum ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN