JERLUN: Penduduk sekitar Jalan Alor Setar-Kangar di sini menggesa pihak bertanggungjawab menyelia segera keadaan jalan tersebut yang didakwa berlubang serta retak teruk, sekali gus menjejaskan keselamatan dan kelancaran trafik harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan jalan yang rosak menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan, malah membahayakan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang terpaksa memperlahankan kenderaan atau menukar lorong secara mengejut bagi mengelakkan lubang di permukaan jalan.
Laluan sepanjang 14.85 kilometer (km) itu merupakan antara jalan utama menghubungkan Perlis dan Kedah serta digunakan ribuan pengguna setiap hari.
Penduduk mendakwa projek naik taraf jalan yang telah berlangsung sejak beberapa tahun lalu menjadi punca utama kerosakan berpanjangan sehingga menimbulkan ketidakselesaan dan risiko kemalangan.
Seorang penduduk Kampung Bohor Karang, Ayer Hitam, Azizan Abdul Hamid, 60, berkata, mereka terpaksa berdepan pelbagai kesukaran sejak projek tersebut dilaksanakan.
“Jalan rosak dan ada yang tidak dibaiki. Kalau lalu di sini macam naik kuda dalam filem koboi. Jalan tidak rata menyebabkan kereta cepat rosak dan kos penyelenggaraan meningkat, terutama tayar dan sistem suspensi. Rumah pula berdebu, lebih-lebih lagi pada musim kemarau seperti sekarang,” katanya.
Menurutnya, penduduk tidak menolak pembangunan, namun berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual serta kerosakan jalan ditangani segera.
“Sudah tiga hingga empat tahun kami bertahan. Kalau terlalu lama, memang memeningkan kepala untuk hadapi setiap hari,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu, Ahmad Zaki, 42, berkata, kesesakan di laluan tersebut semakin teruk pada waktu puncak sehingga masa perjalanan ke tempat kerja hampir dua kali ganda.
“Ada laluan yang hanya ditampal sementara, tetapi rosak semula selepas hujan lebat atau dilalui kenderaan berat. Akibatnya, kenderaan pengguna sering mengalami kerosakan dan menambah beban kos,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Suhaida Shamsudin, 34, berkata, dia memahami keperluan projek naik taraf demi keselesaan jangka panjang, namun berharap penyelenggaraan jalan sepanjang tempoh pembinaan diberi perhatian serius.
“Projek ini sudah berlarutan lama, dari saya mengandung hingga anak kini berusia tiga tahun. Jalan berlubang menyukarkan pergerakan terutama waktu hujan dan malam. Kami harap jalan rosak dibaiki segera demi keselamatan semua,” katanya. – UTUSAN










