Lelaki nafi pandu melulu hingga sebabkan tiga beranak maut

Lelaki nafi pandu melulu hingga sebabkan tiga beranak maut

MOHAMAD Aqlan Marwan Mohamad Toha (dua, kiri) dikawal anggota polis selepas tidak mengaku bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Mahkamah Majistret Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang pekerja pemasaran sebuah bengkel kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, baru-baru ini.

Tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan jenis Proton S70 secara melulu sehingga melanggar sebuah Perodua Viva di Jalan Kulim–Mahang, kira-kira pukul 5 petang, 18 Januari lalu.

Kemalangan itu menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara antaraima ke 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal memohon jumlah minimum kerana tertuduh berpendapatan rendah dan perlu menyara seorang isteri serta anak.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Tarikh 3 Mac depan ditetapkan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Minggu lalu, akhbar melaporkan tiga beranak meninggal dunia di tempat kejadian selepas Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Kulim–Mahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN