TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei,menggelarkan penunjuk perasaan antikerajaan sebagai perusuh dan penghasut yang cuba ‘menggembirakan hati Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump’.
Dalam ucapan pertama sejak demonstrasi bermula pada 28 Disember, Khamenei turut menuduh penunjuk perasaan bekerja untuk agenda asing.
“Penunjuk perasaan merosakkan jalan mereka sendiri untuk ‘menggembirakan’ presiden negara lain kerana dia kata dia akan membantu mereka,” katanya merujuk Trump, yang sebelum ini mengancam campur tangan AS jika pihak berkuasa Iran membunuh penunjuk perasaan.
Khamenei berikrar pihak berkuasa Iran tidak akan berundur dalam menghadapi gerakan protes yang semakin meluas, menandakan kemungkinan tindakan lebih keras dilaksanakan ketika demonstrasi dan penutupan internet di seluruh negara berlanjutan.
Protes di Iran bermula selepas kemerosotan mendadak nilai mata wang negara, yang kemudiannya disusuli dengan tuntutan pembaharuan politik serta pengakhiran pemerintahan rejim.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 50 penunjuk perasaan terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak, manakala ratusan lagi cedera dan lebih 2,270 ditangkap.
Trump pada Jumaat kembali mengulangi amaran terhadap Iran, selain menyifatkan Teheran kini berada dalam ‘masalah besar’.
“Lebih baik mereka jangan mula menembak, kerana kami juga akan mula menembak,” kata Trump.
Bagaimanapun, Khamenei dalam ucapan di televisyen kekal bertegas menolak tuntutan rakyat dan mengecam campur tangan asing.
Beliau meramalkan pemimpin AS yang ‘angkuh’ itu akan digulingkan seperti dinasti empayar yang memerintah Iran sebelum revolusi 1979.
Media kerajaan Iran mendakwa, pihak berkuasa menangkap ejen perisikan Israel, Mossad, yang dikatakan menyusup ke dalam gerakan protes.
Press TV melaporkan, sel perisik Israel sedang merancang ‘operasi pembunuhan palsu’ yang bertujuan untuk menyalahkan negara atas kematian orang awam.- THE GUARDIAN











