THE HAGUE: Satu kes penting yang menuduh Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik minoriti Islam Rohingya dibicarakan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Ia menjadi kes pembunuhan beramai-ramai pertama yang didengar sepenuhnya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam tempoh lebih sedekad.
Keputusan kes ini dijangka memberi kesan melangkaui Myanmar, dan mungkin mempengaruhi kes pembunuhan beramai-ramai Afrika Selatan di ICJ terhadap Israel berhubung perang di Gaza.
“Kes ini berkemungkinan menetapkan duluan penting tentang bagaimana pembunuhan beramai-ramai ditakrifkan, bagaimana ia boleh dibuktikan dan pelanggaran boleh diperbaiki,” kata Ketua Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB untuk Myanmar, Nicholas Koumjian, kepada Reuters.
Negara majoriti Islam di Afrika Barat, Gambia, memfailkan kes tersebut di ICJ, yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, pada 2019, menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya di negeri Rakhine.
Myanmar menafikan tuduhan pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Tentera Myanmar melancarkan serangan pada 2017 yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh, selepas didakwa berdepan pelbagai penganiayaan termasuk pembunuhan dan keganasan seksual.
Misi pencarian fakta PBB menyimpulkan serangan tentera pada 2017 termasuk tindakan pembunuhan beramai-ramai.
Dalam pendengaran awal kes ICJ pada 2019, pemimpin Myanmar ketika itu, Aung San Suu Kyi, menolak tuduhan genosid Gambia sebagai tidak lengkap dan mengelirukan.
Pendengaran di ICJ menandakan kali pertama mangsa Rohingya daripada kekejaman yang didakwa didengar oleh mahkamah antarabangsa, walaupun sesi ditutup kepada orang awam dan media atas alasan privasi.
Pendengaran bermula pukul 10 pagi waktu tempatan pada Isnin dan dijangka berlangsung selama tiga minggu.- AGENSI











