KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membanteras isu rasuah terutama melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi walaupun berdepan cabaran besar dalam sistem politik dan pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dalam usaha menangani rasuah, meskipun prestasi penguatkuasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
Katanya, isu rasuah bukan sahaja bersifat endemik tetapi juga sistemik, sekali gus memerlukan usaha berterusan dan pemantauan rapi.
“Kerajaan akan terus berusaha membanteras isu rasuah terutama melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi walaupun berdepan cabaran besar dalam sistem politik dan pentadbiran negara.
“Kami telah meneliti semua isu rasuah yang besar termasuk melibatkan bekas perdana menteri, bekas menteri, malah kami juga memantau dengan teliti setiap anggota Kabinet serta jentera kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, semalam.
Sebelum ini, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat, direman tujuh hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada 23 Disember lalu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Perdana Menteri berkata, reformasi dalam mana-mana institusi memerlukan kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan serta keberhasilan pelaksanaannya.
“Tetapi seperti yang saya nyatakan sebelum ini, rasuah bukan sahaja bersifat endemik, malah sistemik. Ia memerlukan banyak usaha.
“Saya menghormati agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen dan lain-lain.
“Tekad kerajaan jelas walaupun menghadapi cabaran politik. Setiap kali kita menyentuh seorang pemimpin penting atau tokoh besar, pasti akan timbul persoalan mengenai keputusan tersebut.
Namun, kami akan terus mengekalkan usaha membanteras rasuah,” katanya.
Kata Anwar, walaupun kerajaan kurang mendapatkan sokongan daripada pemimpin politik termasuk pembangkang, perkara itu tidak akan melemahkan usaha kerajaan untuk membanteras isu rasuah di negara ini.
Menurut beliau, semua langkah penguatkuasaan perlu diteruskan bagi memastikan integriti serta pentadbiran negara kekal terpelihara.
“Walaupun terdapat cabaran, kerajaan tetap komited dan akan meneruskan semua usaha penguatkuasaan dengan penuh ketegasan. Kami menghargai semua pihak yang terlibat, tetapi isu besar masih perlu ditangani secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan tambahan RM5 juta kepada Zoo Negara bagi menambah baik fasiliti, pengurusan dan penyelenggaraan sedia ada bagi meningkatkan tarikan pelancong.
Katanya, pada tahun lalu, RM5 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara bagi meningkatkan fasiliti dan penyediaan tambahan, selaras dengan pencapaian memberangsangkan pusat tarikan pelancongan tersebut.
Beliau berkata, selain menjadi tarikan pelancongan, ia juga berperanan sebagai destinasi lawatan pelajar sekolah untuk memberikan pendedahan mengenai tanggung jawab terhadap alam sekitar dan kepelbagaian hidupan liar.
“Negara baru sahaja menerima pasangan Giant Panda baharu, Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina). Saya mengambil kesempatan bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing untuk merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Presiden Xi Jinping serta Premier China atas sumbangan yang bermakna ini.
“Tahun ini, saya meluluskan tambahan RM5 juta bagi tujuan pengurusan serta penyelenggaraan kawasan ini. Kehadiran panda ini merupakan tarikan pelancongan yang besar, bukan sahaja kepada pelawat dalam negara malah dari luar negara.
“Keupayaan pasukan pengurusan serta seluruh pihak yang menjaga dan memelihara haiwan ini amat membanggakan negara,” katanya.
Mengulas pandangan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kawasan tanah di Zoo Negara yang tidak digunakan sejak 1963, Anwar berkata, tiada keperluan mendesak untuk menggunakan tanah itu kerana ruang sedia ada mencukupi untuk tujuan penyelenggaraan.
“Perkara ini telah dibincangkan dengan pihak berkaitan dan akan diputuskan sama ada penggunaan tambahan tanah diperlukan atau tidak.
“Hakikat mempunyai tanah mencukupi adalah satu kelebihan. Tidak semua inci tanah perlu dimajukan kerana kawasan hijau di sekitar zoo perlu dipelihara.
“Kerajaan komited untuk memastikan tiada pembangunan dilakukan di kawasan hijau, khususnya di dalam dan sekitar zoo bagi melindungi persekitaran,” katanya. – UTUSAN








