KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan pembayaran lebih RM37 juta kepada Paderi Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Tain memutuskan demikian selepas mendapati terdapat keadaan khas yang mewajarkan penangguhan itu diberikan mengikut Aturan 45 Kaedah 11, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Tambahnya, sekiranya penangguhan itu tidak diberikan, ia boleh menimbulkan implikasi serius terhadap pengurusan dana awam.
Mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran itu sehingga rayuannya terhadap keputusan kes saman terbabit, didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.
Pada 5 November 2025, Mahkamah Tinggi di sini yang berlainan memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari bermula dari 13 Februari 2017, kepada Raymond selaku plaintif pertama sehingga defendan mendedahkan keberadaan lelaki itu.
Sehingga hari ini, Koh telah hilang selama 3,269 hari menjadikan ganti rugi berdasarkan kehilangannya berjumlah RM3, 260,000.
Hakim Mahazan ketika membacakan penghakimannya menyatakan bedasarkan keimbangan kebarangkalian, tidak berlaku prejudis terhadap Raymond dan isterinya sekiranya penangguhan diberikan.
“Tiada sebarang petunjuk mengenai ketidakmampuan untuk membuat pembayaran atau melupuskan aset di pihak kerajaan.
“Penolakan permohonan penangguhan pelaksanaan akan mendedahkan defendan (kerajaan) kepada akibat pentadbiran dan kewangan yang tidak boleh dipulihkan, walaupun keputusan kini sedang dirayu.
“Setelah menimbangkan keseluruhan keadaan, saya berpuas hati bahawa imbangan keadilan jelas memihak kepada pengekalan ‘status quo’ sementara menunggu rayuan,” katanya.
Hakim turut mengambil maklum bahawa Raymond masih hilang dan sekiranya pembayaran diteruskan, beliau tidak akan dapat menerima ganti rugi yang diberikan pada peringkat ini berdasarkan terma nyata penghakiman itu sendiri.
“Wang berkenaan akan dibekukan dalam akaun amanah sementara menunggu keputusan rayuan, atau sehingga keberadaan plaintif pertama diselesaikan.
“Oleh itu, plaintif pertama (Raymond) tidak akan menikmati manfaat yang berguna daripada ganti rugi yang diberikan,” katanya.
Dalam keputusannya sebelum ini, Hakim Tiang Joo memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari itu selepas memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan lelaki itu yang dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017.
Mahkamah ketika itu memutuskan bahawa satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terbabit dalam penculikan Raymond serta bertindak mengikut ‘satu arahan’ lapan tahun lalu.
Raymond diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 13 Februari 2017 ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, dalam perjalanan ke rumah seorang rakan.
Hakim Tiang Joo turut memerintahkan defendan untuk membayar ganti rugi teruk berjumlah RM1 juta berasaskan penindasan bukti dan kelewatan berpanjangan dalam menyelesaikan kes kehilangan Raymond dan ganti rugi teladan RM1 juta atas tindakan menindas dan tidak berperlembagaan oleh semua defendan.
Mahkamah turut memerintahkan ganti rugi itu hendaklah dimasukkan ke dalam satu akaun amanah yang menjana faedah dan dipegang oleh pemegang amanah.
Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM2 juta kepada Susanna atas penindasan bukti, kesengsaraan dan tekanan mental (akibat kehilangan suami), serta kelewatan berpanjangan dalam usaha menemukan Raymond, dan ganti rugi teladan berjumlah RM1 juta. – UTUSAN










