Keluarga buntu kos rawatan makin naik

Keluarga buntu kos rawatan makin naik

KEADAAN Muhammad Hazim Rafiq Hussain yang dilaporkan koma di sebuah hospital di Krabi selepas terlibat kemalangan di Thailand, Rabu lalu. – IHSAN KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang rakyat Malaysia dilaporkan koma di sebuah hospital di Krabi, Thailand akibat kemalangan dengan sebuah lori di negara itu pada Rabu lalu.

Mangsa, Muhammad Hazim Rafiq Hussain, 21, mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan pada kepala, kebocoran paru-paru dan tulang bahagian pinggang retak.

Menurut abangnya, Muhammad Harith Rafie, 24, kejadian berlaku ketika mangsa bersama lima rakan berkonvoi ke Thailand sejak Selasa lalu dengan menaiki motosikal.

“Dia terlibat kemalangan keesokan harinya. Setakat ini, saya belum dimaklumkan tentang lokasi tepat kejadian tapi kami kini buntu apabila kos rawatan adik di hospital itu semakin meningkat setiap hari.

“Sehingga semalam, saya dimaklumkan kos rawatan yang perlu dibayar adalah RM21,000. Kami amat bimbangkan keada­annya dan buntu memikirkan bagaimana nak cari wang sebanyak itu,” katanya di sini semalam.

Muhammad Harith Rafie berkata, jumlah tersebut tidak termasuk kos pembedahan dan pihak hospital sedang memantau perkembangan semasa sama ada adiknya boleh dibawa pulang ke Malaysia jika keadaannya stabil.

“Doktor memaklumkan adik perlu menjalani pembedahan pada bahagian muka yang turut cedera selain saluran pernafasan perlu ditebuk,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Hazim Rafiq hanya mengambil insurans wajib berharga RM55 yang dipercayai hanya menampung kos perubatan sekitar RM4,000 sahaja.

“Buat masa ini, kawan-kawan adik masih di sana (hospital) dan mereka mungkin terpaksa pulang ke Malaysia. Saya merancang untuk ke sana dalam masa terdekat,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Muhammad Harith Rafie di talian 017-4742348. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN