BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memperkenalkan sistem teknologi baharu, yang didakwanya untuk menguatkuasakan sekatan pergerakan di Tebing Barat melibatkan kedua-dua rakyat Israel dan Palestin.
Media Israel melaporkan, langkah tersebut bertujuan untuk membendung peningkatan keganasan daripada penempatan haram.
Menurut kenyataan tentera, sistem itu membolehkan pasukan keselamatan ‘memasang peranti pemantauan teknologi ke atas individu tertakluk kepada perintah pentadbiran’ yang mengehadkan pergerakan mereka di Tebing Barat.
“Sistem ini akan membolehkan pemantauan ‘pelanggaran perintah sekatan ini dengan sewajarnya,” kata tentera.
Langkah tersebut diterima pakai selepas permintaan ketua agensi keselamatan domestik Shin Bet, David Zini, sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, lapor Channel 12.
Penyiar Israel itu berkata, peranti pemantauan yang akan digunakan adalah gelang elektronik, kononnya dilaksanakan sama rata terhadap rakyat Israel dan Palestin.
Tentera berkata, sebarang cubaan untuk menanggalkan peranti pemantauan merupakan satu kesalahan, yang boleh membawa kepada pendakwaan jenayah.
Israel menduduki wilayah Palestin sejak 1967, dan kini lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di sana, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Perintah sekatan pentadbiran melarang suspek yang menetap di Tebing Barat pergi ke kawasan tertentu atau berkomunikasi dengan individu tertentu.
Langkah lebih tegas, dikenali sebagai penahanan pentadbiran, membenarkan pasukan keselamatan Israel menahan suspek di Tebing Barat, sama ada rakyat Israel atau Palestin, sehingga enam bulan tanpa pertuduhan.
Selepas mengambil alih jawatan pada November 2024, Menteri Pertahanan, Israel Katz memansuhkan penggunaan langkah tersebut terhadap rakyat Israel, tetapi ia masih dikuatkuasakan ke atas rakyat Palestin.- AFP











