NEW YORK: Sebuah karya seni pelukis terkenal, Jackson Pollock yang disifatkan sebagai antara lukisan abstrak pertama wujud dalam sejarah, dijual pada harga AS$181 juta (RM720 juta) dalam satu lelongan di New York.
Lukisan bertajuk Number 7A, 1948 itu dilelong di rumah lelong terkenal Christie’s pada Isnin dan memecahkan rekod terdahulu sebagai karya paling mahal pernah dijual melibatkan artis Amerika Syarikat (AS) tersebut di lelongan.
Karya itu, yang berasal daripada koleksi peribadi mogul media S. I. Newhouse, kini turut menjadi karya seni keempat paling mahal pernah dijual di lelongan, menurut ARTnews.
Turut berada dalam koleksi sama ialah arca gangsa oleh artis Romania Constantin Brancusi yang dijual pada harga AS$107.6 juta (RM428 juta), menjadikannya arca kedua paling mahal pernah dijual di lelongan.
Pollock, yang meninggal dunia pada 1956, merupakan tokoh utama dalam gerakan seni ekspresionisme abstrak. Teknik ‘drip painting’ atau percikan cat yang diperkenalkannya menjadi antara gaya paling dikenali dan sering ditiru dalam dunia seni.
Rekod lelongan terdahulu bagi karya Pollock ialah AS$61.2 juta (RM243.39 juta) menerusi lukisan Number 17, 1951 yang dijual pada 2021. Beberapa karya lain bagaimanapun pernah dijual pada harga lebih tinggi melalui jualan persendirian.
Christie’s menyifatkan Number 7A, 1948 yang memaparkan percikan cat hitam dengan sentuhan merah di atas kanvas besar melebihi tiga meter itu sebagai karya penting dalam sejarah seni.
“Melalui karya ini, Pollock akhirnya membebaskan dirinya daripada batasan lukisan easel konvensional dan menghasilkan antara lukisan abstrak pertama yang benar-benar wujud dalam sejarah seni,” menurut deskripsi karya itu di laman web Christie’s.-AGENSI










