Hospital lumpuh, pesakit kanser Gaza bertarung dengan maut

Hospital lumpuh, pesakit kanser Gaza bertarung dengan maut

PASUKAN perubatan memindahkan mangsa cedera dan pesakit kanser ke Hospital al-Shifa di Gaza City, dalam inisiatif bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bulan Sabit Merah Palestin, pada 28 Oktober 2024.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ribuan pesakit kanser di Gaza kini terpaksa menanggung penderitaan tanpa rawatan sewajarnya, berikutan sistem kesihatan yang lumpuh dan sekatan ke atas Israel ke atas wilayah terkepung itu.

Menurut doktor, bilangan kematian akibat kanser meningkat tiga kali ganda sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Tanpa rawatan kemoterapi, radioterapi dan alternatif lain, diagnosis kanser kini menjadi ‘hukuman mati’ kepada 11,000 pesakit yang terperangkap di Gaza.

Sama seperti jutaan rakyat Palestin lain, Hani Naim yang menghidap kanser selama enam tahun turut terperangkap di Gaza dan dihalang keluar akibat sekatan Israel, meskipun dia diluluskan untuk mendapat rawatan di luar negara.

“Saya biasanya menerima rawatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis. Hari ini, saya tidak boleh mengakses sebarang rawatan. Saya memerlukan radioterapi, tetapi ia tidak lagi wujud di Gaza,” katanya kepada Al Jazeera.

Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin, yang dahulu satu-satunya kemudahan menyediakan rawatan onkologi di Gaza, kini berdiri sebagai bangunan kosong dan musnah.

“Ia kelihatan seperti hospital berhantu selepas dijadikan tapak tentera semasa perang, menyebabkan pesakit terpaksa bertahan sendiri,” kata wartawan Al Jazeera di Gaza, Abu Azzoum.

Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata baru-baru ini yang sepatutnya membenarkan bantuan masuk ke Gaza, bekalan perubatan penting masih disekat.

Pengarah Perubatan Pusat Kanser Gaza, Mohammed Abu Nada menolak dakwaan bantuan dihantar tanpa sekatan, dan menegaskan wilayah itu tidak pernah menerima bekalan perubatan untuk menyelamat nyawa.

“Mereka membawa masuk coklat, kacang dan kerepek… tetapi rawatan untuk penyakit kronik, kanser dan peralatan diagnostik tidak masuk langsung.

“Kami memohon Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya sekurang-kurangnya menyediakan rawatan jika kami tidak dibenarkan keluar. Apa yang ada sebelum ini telah habis digunakan,” katanya.

Beliau menganggarkan 60 hingga 70 peratus protokol rawatan kanser kini tidak tersedia kerana kemoterapi memerlukan urutan ubat tertentu, dan ketiadaan walaupun satu komponen menyebabkan keseluruhan rawatan tidak berkesan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN