GAZA: Ribuan khemah yang dibekalkan oleh China, Mesir dan Arab Saudi bagi menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza hanya memberi perlindungan terhad daripada hujan dan angin.
Penilaian yang disediakan pakar perlindungan di wilayah itu sekali gus menyangkal dakwaan rakyat Palestin di Gaza dibekalkan dengan perlindungan yang mencukupi.
Ribut kuat sejak beberapa minggu kebelakangan ini merobohkan atau merosakkan ribuan khemah, menjejaskan sekurang-kurangnya 235,000 orang, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Laporan itu disediakan oleh Kluster Perlindungan Palestin, sebuah badan yang menyelaras aktiviti hampir 700 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palestin dan dipengerusikan Majlis Pelarian Norway.
Penilaian tersebut mendapati khemah yang baru dihantar dan menempatkan ratusan ribu orang itu mungkin perlu diganti.
“Kain (khemah dari Mesir) mudah koyak kerana kualiti jahitan yang rendah. Kain tersebut tidak kalis air dan masalah lain termasuk tingkap yang kecil, struktur yang lemah, tiada alas lantai, bumbung yang menakung air akibat reka bentuk khemah, serta tiada jaring pada bahagian bukaan,” menurut laporan itu.
Khemah dari Arab Saudi turut dikritik kerana menggunakan kain nipis yang tidak kalis air serta struktur yang lemah manakala khemah yang didermakan oleh China disifatkan sebagai sangat ringan dan juga tidak kalis air.
Sebaliknya, khemah yang dibekalkan oleh Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan PBB didapati memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pakar PBB.
Dapatan itu berdasarkan 9,000 respons daripada tinjauan di media sosial pada November, pemerhatian rakan kongsi di lapangan serta maklum balas komuniti.
Ia menimbulkan persoalan baharu mengenai kualiti bantuan yang dibekalkan secara langsung ke Gaza oleh negara-negara tertentu.
Sejak gencatan senjata pada Oktober selepas dua tahun konflik, hanya 20,000 daripada 90,000 khemah yang memasuki Gaza dibekalkan oleh PBB atau NGO antarabangsa utama, menurut seorang pegawai bantuan.
COGAT iaitu badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang menyelia kemasukan bantuan ke Gaza berkata, pihaknya berusaha menyokong persediaan musim sejuk di wilayah itu dengan membenarkan penghantaran lebih 25,000 tan kanvas dan khemah.
Penduduk Palestin di Gaza serta pegawai kemanusiaan berkata, khemah yang dijual di pasaran terbuka oleh kontraktor komersial tidak sesuai untuk musim sejuk di Gaza dan dijual pada harga yang mahal.
“Khemah yang kami diami sudah usang dan air hujan bocor masuk,” kata Linda Abu Halima, 30, yang tinggal di kawasan pantai Mawasi selepas rumahnya di Beit Lahiya, utara Gaza, musnah.
“Kami menerimanya melalui bantuan seseorang. Ia dibuat secara manual menggunakan kayu dan kanvas. Kami tidak mampu membeli khemah baharu kerana harganya mahal, dan kami langsung tidak menerima sebarang bantuan,” katanya.- AGENSI










