Britain larang iklan makanan tidak sihat di TV, dalam talian 

Britain larang iklan makanan tidak sihat di TV, dalam talian 

LARANGAN iklan makanan segera dijangka mengurangkan sehingga 7.2 bilion kalori daripada diet kanak-kanak setiap tahun.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain menguatkuasakan larangan iklan makanan tidak sihat di televisyen pada waktu siang serta di platform dalam talian bagi membendung masalah obesiti kanak-kanak.

Larangan itu menyasarkan iklan produk yang tinggi kandungan lemak, garam atau gula dan dijangka dapat mengurangkan sehingga 7.2 bilion kalori daripada diet kanak-kanak setiap tahun, menurut Kementerian Kesihatan Britain.

Langkah tersebut meliputi larangan iklan sebelum waktu siaran 9 malam di televisyen serta pada bila-bila masa di platform dalam talian. Ia dijangka mengurangkan jumlah kanak-kanak yang hidup dengan obesiti sebanyak 20,000 orang serta menjana manfaat kesihatan bernilai kira-kira 2 bilion pound (RM11 bilion).

Pelaksanaan dasar ini, yang pertama kali diumumkan pada Disember 2024, menyusuli beberapa langkah lain termasuk perluasan cukai gula ke atas produk pra-bungkus seperti susu kocak, kopi sedia minum dan minuman yogurt bergula.

Pihak berkuasa tempatan turut diberikan kuasa untuk menghalang pembukaan kedai makanan segera berhampiran sekolah.

Kerajaan Britain menegaskan bukti menunjukkan pengiklanan mempengaruhi apa dan bila kanak-kanak makan, membentuk cita rasa sejak usia muda serta meningkatkan risiko obesiti dan penyakit berkaitan.

Menurut data rasmi, 22 peratus kanak-kanak yang memulakan sekolah rendah di England pada usia llima tahun mengalami berat badan berlebihan atau obes, dan angka itu meningkat kepada lebih satu pertiga apabila mereka memasuki sekolah menengah.

Pegawai turut memaklumkan kerosakan gigi merupakan punca utama kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak kecil di Britain, khususnya dalam lingkungan usia lima hingga sembilan tahun.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan Ashley Dalton berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi untuk menjadikan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang dibiayai kerajaan lebih menumpukan kepada pencegahan penyakit selain rawatan.

Pertubuhan kebajikan Diabetes UK turut mengalu-alukan larangan tersebut, dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Colette Marshall, menyatakan diabetes jenis 2 semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.

“Obesiti merupakan faktor risiko utama bagi diabetes jenis 2, dan penyakit ini boleh membawa kesan yang lebih serius kepada golongan muda, termasuk risiko komplikasi teruk seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN