Bila calon dari Pas hendak dilantik ketuai PN?

Bila calon dari Pas hendak dilantik ketuai PN?

PAS perlu segera menamakan calon bagi menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas lebih dua minggu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Pas yang melaungkan kesediaan me­mimpin gabungan itu masih berteka-teki menamakan calon pengganti mengetuai gagasan tersebut.

Selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak jawatan itu, antara nama lain dari parti itu yang disebut mengetuai PN seperti Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga masih bermain ‘tarik tali’ masing-masing mencadangkan nama itu dan ini yang disifatkan lebih layak.

Persoalan siapa bakal me­ngetuai PN terus menjadi polemik sehingga kini, malah me­syuarat tergempar Ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk membincangkan pelantikan jawatan berkenaan juga tidak tahu bila akan diadakan.

Apakah tidak ada pemimpin dari Pas yang benar-benar layak mengetuai PN bagi menggantikan Muhyiddin? Apabila soal pelantikan itu pun masih berlarutan, sudah pasti ramai akan memainkan naratif tersebut.

Meskipun jika Pas sudah me­namakan pengganti, apakah hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya daripada soal kepercayaan dan keikhlasan itu masih ada?

Malah, Muhyiddin sendiri sebagaimana dimaklumkan oleh sumber kepada Utusan Malaysia bahawa peletakan jawatan be­liau atas kerelaan sendiri selepas kecewa dengan Pas terutama membabitkan segelintir pe­mim­pinnya yang celupar.

Bagaimana PN akan bergerak sebagai sebuah gabungan yang kuat dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Jika PN masih goyah, bagaimana rak­yat hendak yakin untuk memilih gabungan tersebut menjadi kerajaan.

Perkara paling asas untuk melantik barisan baharu PN itu pun masih belum selesai, sejauh mana gabungan tersebut mampu bertahan selepas ini. Dikhuatiri ‘retak menanti belah’ itu berlaku sebelum memasuki gelanggang PRU16.

Jika Pas belum bersedia me­ngetengahkan calon, ramai berpandangan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Bersatu antara pilihan yang se­suai mengetuai gabungan tersebut, sekali gus berupaya membantu menjernihkan kembali hubu­ngan Pas dan Bersatu.

Timbalan Presiden Bersatu itu dikatakan rapat dengan kepemimpinan Pas selain mempunyai pengaruh cukup kuat di dalam Bersatu. Ia terbukti, di sebalik ramai ketua bahagian di Perak dan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan Hamzah telah pun dipecat serta telah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti, namun Ketua Pembangkang itu sehingga kini masih tidak menerima sebarang notis panggilan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mendapatkan pandangan beliau siapa calon dari Pas layak mengetuai PN memaklumkan masih belum bersedia memberi sebarang ulasan ketika ini.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh pula melihat proses pelantikan Pengerusi baharu PN perlu diselesaikan sebelum akhir Januari ini.

Katanya, jika tidak, ia akan memberi kesan kepada PN khususnya membabitkan krisis kepercayaan rakyat terhadap gabungan itu.

“Ada kemungkinan dua calon dari Pas saya lihat iaitu Ahmad Samsuri dan Tuan Ibrahim. Jika dua pemimpin itu tidak bersedia, Hamzah dilihat menjadi ca­lon sesuai, namun memerlukan konsesus antara dua parti itu. Hamzah antara calon sesuai un­tuk membantu menjernihkan kembali hubungan Pas dan Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN