WASHINGTON: Washington berkemungkinan memberikan bayaran sekali gus kepada penduduk Greenland sebagai sebahagian daripada usaha untuk meyakinkan mereka supaya berpisah dari Denmark dan menyertai Amerika Syarikat (AS).
Menurut dua sumber yang mengetahui perbincangan dalaman, walaupun jumlah sebenar dan bayaran logistik masih belum jelas, pegawai AS termasuk pembantu Rumah Putih, didakwa mempertimbangkan jumlah antara AS$10,000 hingga AS$100,000 (RM40,669 hingga RM406,696) seorang.
Idea untuk membayar terus kepada penduduk Greenland, sebuah wilayah luar Denmark, menjelaskan bagaimana AS semakin terdesak untuk ‘membeli’ pulau berpopulasi 57,000 orang itu, walaupun Copenhagen dan Nuuk menegaskan Greenland bukan untuk dijual.
Taktik itu adalah antara pelbagai rancangan yang sedang dibincangkan Rumah Putih untuk menguasai Greenland, termasuk potensi penggunaan tentera.
Namun, langkah itu dilihat terlalu bersifat transaksi dan merendahkan maruah penduduk yang sekian lama membahaskan kemerdekaan mereka sendiri serta kebergantungan ekonomi terhadap Denmark.
Pemimpin di Copenhagen dan seluruh Eropah memberikan reaksi sinis terhadap kenyataan Presiden Donald Trump serta pegawai Rumah Putih lain yang mendakwa hak mereka ke atas Greenland dalam beberapa hari kebelakangan ini, memandangkan AS serta Denmark adalah sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang terikat oleh perjanjian pertahanan bersama.
Apabila ditanya tentang cadangan membeli pulau itu, termasuk kemungkinan membayar terus kepada penduduk Greenland, pihak Rumah Putih merujuk kepada kenyataan Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt dan Setiausaha Negara, Marco Rubio pada Rabu.
Semasa taklimat akhbar, Leavitt mengakui bahawa Trump dan pembantu keselamatan negaranya sedang meneliti bagaimana kemungkinan pembelian itu akan dilaksanakan.
Rubio pula berkata, beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari Denmark minggu depan di Washington untuk membincangkan isu Greenland.
Seorang lagi sumber dalaman memberitahu, langkah bayaran sekaligus kepada penduduk Greenland bukan rancangan baharu, namun idea itu menjadi serius sejak beberapa hari lalu.
Pembantu Trump sedang mempertimbangkan jumlah yang lebih tinggi, dengan bayaran AS$100,000 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan hampir AS$6 bilion (RM24 bilion).
Trump sudah lama mahu AS ‘mendapatkan’ Greenland atas beberapa faktor, termasuk pulau itu kaya dengan mineral yang diperlukan untuk aplikasi ketenteraan canggih.
Beliau juga percaya kawasan Hemisfera Barat secara umumnya perlu berada di bawah pengaruh geopolitik Washington.- AGENSI











