KUALA LUMPUR: Sebahagian akar umbi UMNO lebih selesa parti itu bergerak sendiri berbanding menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Tinjauan Utusan Malaysia dalam kalangan perwakilan mendapati UMNO perlu segera membuat pendirian untuk berdiri sendiri tanpa melibatkan kerjasama sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Muafakat Nasional (MN).
Ketua Penerangan Wanita daripada negeri Pahang, enggan dinamakan berkata, jentera kini sukar mendekati pengundi berikutan sentimen penolakan terhadap parti yang pernah menjadi musuh UMNO.
“Kita di akar umbi hakikatnya sukar untuk buat kerja. Sentimen penolakan itu terlalu kuat. Bukan semua kawasan kita boleh masuk sebab banyak kawasan yang dijaga oleh parti lain.
“Tiada gerak kerja secara bersama dengan mereka walaupun kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan dan perkara ini sudah pun dinyatakan dalam mesyuarat bahagian, namun kami perlu akur dengan keputusan kepimpinan tertinggi,” katanya ketika ditemui semalam.
Timbalan Ketua Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh pula berkata, meskipun ada mendesak parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan, pendekatan di peringkat atasan berbeza kerana lebih memikirkan survival parti untuk terus bertahan dalam tempoh tertentu.

“Ada pro dan kontra pada setiap perkara yang disuarakan akar umbi. Kalau kita keluar dari kerajaan, banyak perubahan yang akan berlaku membabitkan beberapa negeri seperti Perak dan Pahang.
“Jadi kita mengharapkan agar semua pucuk pimpinan membuat keputusan demi kelangsungan parti dan diterima oleh semua rakyat,” katanya.
Bagi Bendahari UMNO Parit Buntar, Shamsul Husain, meskipun sentimen pengundi ketika ini menunjukkan penolakan terhadap parti tertentu, terdapat persoalan sama ada kerjasama itu masih boleh diterima demi kestabilan politik dan kedudukan kuasa lebih besar.
“Pada saya, cara untuk meredakan semangat perwakilan yang beria-ia untuk keluar daripada kerajaan ini, kita perlu perbaiki dengan perkara lain. Contohnya kita beri semangat dengan meyakinkan mereka, kita terbuka untuk bekas UMNO menyertai parti semula.
“Sebab akhirnya kita tahu semua akan akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT),” katanya. – UTUSAN










