PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bebas daripada 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan, tiada tindakan lanjut (NFA) kes melibatkan Ahmad Zahid yang sebelum ini dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2023.
Katanya, ia sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan lanjut dan penilaian pendakwaan susulan keputusan DNAA yang diberikan pada 4 September 2023.
Jelasnya, ia susulan siasatan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merangkumi aspek sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkaitan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan Ahmad Zahid selepas beliau dipanggil membela diri.
“Hasil penelitian terhadap keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperoleh daripada siasatan lanjut tersebut mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan.
“Justeru, jabatan ini memutuskan bahawa NFA akan diambil berhubung kes berkenaan. Keputusan ini sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan,” katanya semalam.
Menurutnya, keputusan NFA tersebut dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan utama antaranya skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
Jelasnya, penelitian juga diambil hasil pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan meneruskan.
“Jabatan ini menegaskan keputusan yang dibuat adalah berasaskan pertimbangan profesional dan perundangan, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah negara,” katanya. – UTUSAN










