DHAKA: Suruhanjaya Bangladesh yang menyiasat kes kehilangan individu semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina mendedahkan sekurang-kurangnya 287 orang dipercayai terbunuh.
Suruhanjaya itu memaklumkan beberapa mayat dipercayai dibuang ke dalam sungai, termasuk Sungai Buriganga di ibu negara Dhaka, atau ditanam di kubur besar.
Suruhanjaya yang dilantik kerajaan itu ditubuhkan selepas Hasina digulingkan dalam kebangkitan rakyat besar-besaran pada Ogos 2024.
Suruhanjaya itu menyiasat 1,569 kes penculikan, dengan 287 mangsa diandaikan telah meninggal dunia.
“Kami mengenal pasti beberapa kubur tanpa tanda di beberapa lokasi, di mana mayat dipercayai telah ditanam,” kata anggota suruhanjaya, Nur Khan Liton, kepada AFP.
“Suruhanjaya mengesyorkan agar Bangladesh mendapatkan kerjasama pakar forensik bagi mengenal pasti mayat serta mengumpul dan memelihara sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa,” katanya.
Dalam laporan akhir yang diserahkan kepada kerajaan pada Ahad, suruhanjaya itu menyatakan pasukan keselamatan bertindak di bawah arahan Hasina dan pegawai tertinggi beliau.
Laporan itu turut menyebut ramai individu yang diculik merupakan ahli parti Islam terbesar negara itu, Jamaat-e-Islami, atau Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), kedua-duanya merupakan parti pembangkang kepada Hasina.
Dalam siasatan berasingan, polis pada Disember lalu memulakan kerja menggali sebuah kubur besar di Dhaka.
Kubur tersebut mengandungi sekurang-kurangnya lapan mangsa kebangkitan rakyat menentang Hasina, dengan semua mayat ditemui mempunyai kesan tembakan, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Md Sibgat Ullah.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sehingga 1,400 orang terbunuh dalam tindakan keras ketika Hasina cuba mengekalkan kuasa.
Sheikh Hasina telah dijatuhi hukuman mati secara in absentia pada November lalu atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. -AGENSI











