PETALING JAYA: Pangsapuri khidmat merekodkan jumlah unit kediaman tidak terjual tertinggi di Malaysia apabila sebanyak 17,892 unit yang telah siap dibina masih gagal dipasarkan setakat suku ketiga 2025.
Berdasarkan statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 44,035 unit yang dalam pembinaan dan 12,909 unit pangsapuri khidmat belum dibina masih tidak bertuan sehingga tempoh ini.
Jumlah itu mengatasi semua jenis hartanah lain sama ada dalam kategori kediaman mahupun komersial, sekali gus menggambarkan cabaran ketara yang sedang dihadapi segmen pasaran berkenaan.
Sebagai perbandingan, kategori kedua tertinggi unit tidak terjual direkodkan oleh pangsapuri dan kondominium dengan 14,693 unit, 26,064 unit (dalam pembinaan) dan 6,220 unit (belum dibina) dalam tempoh yang sama.
Profesor Industri Jabatan Hartanah Universiti Malaya (UM), Mohd. Khairudin Abd. Halim berkata, konsep pangsapuri khidmat pada awalnya adalah untuk pelaburan dan membuat servis penginapan jangka pendek menyebabkannya banyak tertumpu di bandar besar.
Menurut beliau, pangsapuri khidmat juga hanya lebih sesuai diduduki oleh individu bujang, baru berkahwin dan tidak mempunyai anak, ia tidak sesuai bagi keluarga besar berikutan saiz kecil.
“Jadi pandangan masyarakat untuk membeli pangsapuri khidmat ini, mereka berbelah bahagi kerana ia tidak bagus untuk jangka panjang.
“Tidak kira sama ada mereka tinggal di unit dibeli itu atau tidak, mereka tetap perlu bayar caj pembangunan yang mana lebih mahal berbanding hartanah lain iaitu 40 sen ke 60 sen bagi setiap kaki persegi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, NAPIC merekodkan pembinaan unit pangsapuri khidmat di Malaysia menunjukkan peningkatan mendadak sejak sedekad lalu khususnya di kawasan bandar sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian perancangan pembangunan dengan keperluan sebenar pasaran.
Data NAPIC menunjukkan Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan pertumbuhan pembinaan pangsapuri khidmat melebihi 400 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Mohd. Khairudin turut membangkitkan persoalan sama ada pangsapuri khidmat masih mempunyai permintaan dari masyarakat memandangkan masih banyak yang belum terjual.
“Jika kita lihat pada pecahan dari 17,892 unit itu, terdapat 2,024 unit yang sudah mencapai usia lebih dari 10 tahun tetapi tidak terjual dan 12,947 unit lagi yang tidak dijual sekitar usia lima hingga bawah 10 tahun dan 2,216 unit bawah lima tahun serta 705 unit pula bawah tiga tahun.
“Ini menunjukkan keadaan kritikal, apa kita nak buat dengan jumlah tidak terjual ini? Takkan kita nak biar, apabila lagi lama unit itu, rumah itu akan jadi rosak, ketinggalan zaman dan tidak diselenggara,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, harga sebuah unit pangsapuri khidmat juga terlalu mahal dan tidak menggambarkan realiti dan kemampuan masyarakat.
Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Suriyana Mustafar berkata, lambakan pembinaan pangsapuri khidmat itu tidak menggambarkan situasi sebenar masyarakat.
“Di kawasan Lembah Klang, pemaju boleh bina pangsapuri khidmat sampai ke lebih 50 tingkat dan unitnya sebenarnya kecil sahaja, sekitar 500 kaki persegi. Satu blok juga boleh mencapai sehingga 1,000 unit.
“Contohnya, pasangan baru berkahwin dan mempunyai seorang anak, mungkin boleh tinggal di pangsapuri khidmat tetapi berbeza jika pasangan itu mempunyai dua ke tiga anak, mereka lebih berminat dengan kondominium dan pangsapuri yang boleh dibeli dengan harga sama.
“Tetapi di sisi pemaju pula, mereka mahukan keuntungan, jadi sebab itu terdapat ketidakpadanan di sini iaitu penawaran lebih tinggi berbanding permintaan,” katanya.
Tambahnya, keadaan tersebut turut memberikan kesan buruk kepada pemaju yang gagal dijual dan berpotensi disenarai hitam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebab itu apabila banyak unit yang tidak dijual, pemaju akan mula buang harga dengan memberi rebat, diskaun dan macam-macam lagi supaya unit mereka itu dapat dijual,” katanya. – UTUSAN










