Trump 'dimalukan' Thailand-Kemboja

Trump ‘dimalukan’ Thailand-Kemboja

PRESIDEN AS, Donald Trump, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul (kedua kiri) serta Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berjabat tangan semasa majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Kemboja dan Thailand masih berbalas serangan beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan kedua-dua negara jiran itu bersetuju untuk menghentikan pertempuran.

Trump mengumumkan persetujuan untuk menyambung semula gencatan senjata itu menerusi satu hantaran di media sosial selepas mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

“Mereka bersetuju untuk menghentikan semua tembakan berkuat kuasa malam ini (Jumaat), dan kembali kepada Perjanjian Keamanan asal yang dibuat bersama saya, dan mereka dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia yang hebat, Anwar Ibrahim,” katanya dalam hantaran di Truth Social.

Bagaimanapun, Kemboja mendakwa Thailand masih membedil wilayahnya beberapa jam selepas Trump mengumumkan persetujuan menamatkan pertempuran.

“Pada 13 Disember, tentera Thailand menggunakan dua jet pejuang F-16 untuk menjatuhkan tujuh bom ke atas beberapa sasaran. Pesawat tentera Thailand masih belum berhenti mengebom,” kata Kementerian Pertahanan Kemboja dalam hantaran di X pada Sabtu.

Anutin pada Sabtu berkata, negara itu akan terus melaksanakan tindakan ketenteraan sehingga ia merasakan tiada lagi bahaya dan ancaman terhadap wilayah serta rakyatnya.

Media Thailand turut melaporkan ketegangan di sepanjang sempadan semakin memuncak selepas serangan roket Kemboja BM-21 mengenai sebuah perkampungan Thailand pada pagi semalam, mencederakan dua lelaki dan rumah.

Serangan dilaporkan berlaku sekitar pukul 8.30 pagi Sabtu di daerah Saothongchai, di wilayah Sisaket, kawasan yang kerap menyaksikan pertempuran sempadan.

Roket BM-21 Grad, pelancar roket berganda era Soviet yang mampu melepaskan 40 das tembakan dalam masa kurang 20 saat, dilaporkan ditembak dari wilayah Kemboja ke kawasan perumahan.

Pertempuran terbaharu antara dua jiran Asia Tenggara itu, berpunca daripada pertikaian lama mengenai sempadan sepanjang 800 kilometer (km) semasa era kolonial, menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk terpaksa dipindahkan.

Gencatan senjata asal yang dicapai pada Julai lalu dirundingkan oleh Malaysia dan diperkukuh melalui tekanan daripada Trump, yang mengancam menarik balik keistimewaan perdagangan sekiranya kedua-dua negara enggan bersetuju.

Meskipun perjanjian dicapai, kedua-dua negara terus terlibat dalam perang propaganda yang sengit, manakala insiden keganasan kecil di sepanjang sempadan masih berlarutan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN