KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menganugerahkan darjah kebesaran kepada individu yang berjasa memberi sumbangan dalam operasi menyelamat ketika tragedi letupan paip gas Putra Heights April lalu, sempena hari keputeraan baginda ke-80, hari ini.
Dalam istiadat yang berlangsung di Istana Alam Shah, seramai 10 individu menerima darjah didahului oleh Pegawai Daerah dan Tanah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed yang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS).
Turut menerima darjah sama, Timbalan Ketua, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Kee Hang Kee; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Penolong Pesuruhjaya Ghazali Abd. Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) Selangor, Azmir Kassim.
Dua daripadanya turut menerima Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) iaitu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Khairul Azuwan Ibrahim.
Selain itu, individu terlibat turut dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor
(AMS), iaitu Ketua Zon 2 Selangor (Petaling), JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Syariman Wan Saleh, Ketua Zon 4 (Hulu Langat), Penguasa Kanan Bomba 1 Shahrin Yusmar Mat Yusof dan Penolong Pengarah JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1, Farid Ahsyadi Assaad.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor, yang turut terlibat dalam operasi di Putra Heights turut menerima darjah kebesaran sama.
Dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengetuai senarai 98 penerima darjah dan bintang kebesaran apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SMPS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima anugerah darjah kebesaran sama ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah Fook Ling.
Bagi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang juga membawa gelaran Datuk Seri, baginda berkenan mengurniakannya kepada tiga penerima iaitu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Mazlan Mansor; Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Datuk Mark Yeoh Seok Kah dan Perunding Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Subang Jaya, Datuk Dr. Anuar Onah.
Dua ahli politik dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita iaitu Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, Datuk Rizam Ismail.
Seramai 14 lagi turut menerima darjah kebesaran sama antaranya ialah Pegawai Kewangan Selangor, Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datin Paduka Azimah Omar; Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ong Chee Kwan.
Selain itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Datuk Dr. Jafri Abu juga dianugerahkan darjah kebesaran sama.
Sementara Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang juga membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 17 penerima, antaranya Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md. Razali Wan Ismail; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk K. Subramaniam dan Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Mohd. Imran Mohamad Salim.
Bagi darjah Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS), hanya seorang penerima iaitu atlet bina badan kebangsaan, Ahmad Faiz Ariffin.
Selain itu, Sultan Selangor juga berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran SMS 10 penerima termasuk empat daripadanya adalah individu yang berjasa dalam operasi menyelamat ketika tragedi letupan paip gas di Putra Heights.
Bagi Darjah Kebesaran (SIS), baginda juga berkenan mengurniakannya kepada bekas Penolong Pengarah Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner, Cha Hoong Fong; Pengarah Jabatan Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh; Pegawai Penerangan Pejabat Sultan Selangor, Azrul Amila Amir dan Naib Presiden Komersial YTL Power International Berhad, Dominic Hua Shi Hao.
Dalam istiadat sama, secara keseluruhan seramai 15 penerima Darjah Kebesaran AMS, 15 lagi menerima Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS), seorang penerima Bintang Kecemerlangan Sukan, sementara tujuh lagi dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC). – UTUSAN










